Covid-19 di penempatan Orang Asli meningkat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dekat Gua Musang akan dijadikan pusat kuarantin bermula esok bagi menempatkan penduduk Orang Asli.

Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kemudahan terbabit mampu menempatkan seramai 300 individu yang disahkan positif Covid-19.

Malah beliau berkata, pusat kuarantin tersebut hanya dikhususkan bagi keluarga Orang Asli dari suku Temiar yang menjadi penduduk di kawasan tersebut.

- Advertisement -

“Pusat ini dibuka bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak merebak ke tempat lain di pedalaman Gua Musang kerana kita lihat jangkitan wabak dalam kalangan Orang Asli semakin meningkat.

“Sehingga kini, terdapat enam kampung Orang Asli dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana berlaku peningkatan jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pada akhir Julai lepas enam perkampungan Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang dikenakan PKPD kerana berlaku penularan wabak Covid-19.

Penempatan terbabit meliputi Kampung Cekau, Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau yang didiami suku Senoi dan Temiar. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -