
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Orang awam dinasihatkan agar tidak berkumpul di kawasan yang dilanda tragedi kepala air petang Rabu lepas untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima aduan lokasi bencana menjadi tumpuan kunjungan orang ramai terutama penduduk berdekatan.
Katanya, arahan bersurai dilakukan segera selain dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Penerangan Malaysia.
“Sehingga ini, pihak kami membuat pantuan dari semasa ke semasa. Sekiranya ada penduduk masih berdegil, tindakan akan diambil,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Petang Rabu lepas hujan secara ekstrem yang turun di Gunung Jerai menyebabkan menyebabkan berlaku kepala air sehingga merosakkan banyak rumah penduduk dan kemudahan awam di sekitar kaki gunung tersebut.
Tragedi itu turut mengorbankan empat nyawa dan dua lagi dilaporkan masih belum ditemui.
Shahnaz juga berharap penduduk di kawasan berpotensi mengambil langkah awal dan bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya kejadian banjir seumpama itu berlaku lagi.
Katanya mereka dinasihat memastikan barangan dan dokumen penting diletakkan di tempat tinggi untuk mengelak rosak atau hilang sekiranya berlaku banjir.
“Pihak polis akan membuat rondaan di kawasan terjejas untuk memastikan tahap keselamatan penduduk terjamin,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 20/8/2021











