Dahulu hanya rakan tempah kek, sekarang pasaran meluas

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri terpaksa meminjam ketuhar daripada jiran untuk menyiapkan tempahan kek dan roti kerana ketuhar sedia ada tidak dapat menampung jumlah yang banyak.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mencari rezeki halal selepas bercuti sementara sebagai Pegawai Amanah Ikhtiar Malaysia.

- Advertisement -

Mohd Shafiq Azrul Shamsudin, 35, dan isterinya, Nur Fatiha Mohd Yasim, 36, menjadikan hobi dan minat membuat kek dan roti sebagai sumber rezeki sejak Jun lalu.

Berkat kesungguhan tersebut kini mereka mampu menjadikan jualan kek dan roti menjadi sumber pendapatan utama tatkala berdepan dengan pandemik Covid-19.

Tiada siapa menyangka, roti dan kek keluaran ‘Tyha Kitchen Bake and Cook’ kini semakin mendapat tempat khususnya di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Sebelum ini jualan kek dan roti sebagai sampingan sahaja dan kalau ada rakan-rakan yang menempah. Tapi selepas itu, Allah buka rezeki buat kami selepas sambutan Hari Raya Aidiladha,” kata Mohd Shafiq.

Bagaimanapun bapa kepada lima anak itu memberitahu, beliau dan isterinya bersyukur kerana mempunyai jiran yang sanggup memberi pinjam dan memahami situasi yang dihadapi mereka.

Menurutnya, setakat ini jualan kek pisang, roti sarang lebah, mufin pelbagai perisa begitu memberangsangkan. Mereka juga menghasilkan pulut kuning bagi menambah bilangan produk.

Mereka hanya menjual serendah RM3 untuk kek pisang dan paling mahal pulut kuning pada harga RM60 sekilogram bersama seekor rendang ayam. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

[Ikuti kisah usahawan gigih tersebut dalam Harakah edisi cetak Isnin ini]

- Advertisement -