
Oleh RUSILAH MD SOM
RANTAU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan (LKKP-NS) mengagihkan bantuan kepada beberapa keluarga kaum India yang memohon bantuan berikutan kediaman mereka dimasuki air, semalam.
Pengerusinya, Ishak Omar berkata, dalam sesi ziarah dan agihan bantuan itu, pihaknya menghulurkan set barangan dapur kepada kelima-lima keluarga tersebut bagi meringankan bebanan mereka.
Ishak bersama Ahli Jawatankuasa LKKP Kawasan Rembau, Suraya Shamsuddin dan Azamah Awang telah menzirahi kelima-lima keluarga tersebut yang tinggal di Batu 5, Jalan Kuala Sawah.
Melalui sesi ziarah itu juga, Ishak turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai bagi membeli gas untuk keperluan memasak.
Pengerusi LKKP-NS itu bertindak selepas dihubungi oleh Loogeswari a/p Gunasegaran yang mewakili lima keluarga tersebut yang memaklumkan bahawa mereka memerlukan tilam dan bantal untuk kegunaan keluarga mereka kerana kebanyakan perabot sedia ada rosak akibat rumah mereka dinaiki air baru-baru ini.
Loogeswary turut meluahkan kesukaran mereka untuk membayar sewa rumah yang mereka duduki sekarang yang disewa dengan kadar RM300 sebulan.
Loogeswary kini tidak mempunyai sebarang pendapatan setelah diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara. – HARAKAHDAILY 20/8/2021











