Integriti syarat yang perlu diterima pakai – Siti Zailah

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyokong syarat-syarat yang ditegaskan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan baharu.

Menurutnya, beliau berpandangan bahawa syarat yang ditetapkan itu harus diterima pakai dalam pentadbiran kerajaan supaya selaras dengan prinsip PN mempertahankan kerajaan berintegriti.

- Advertisement -

“Saya bersetuju, maknanya syarat itu hendaklah terus diterima pakai dalam pentadbiran baharu.

“Kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang dinamik, yang benar-benar memenuhi aspirasi rakyat.

“Insya-Allah, pelantikan ini benar-benar dimanfaatkan untuk meneruskan dasar-dasar kita,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

Semalam, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sokongan yang diberikan PN kepada Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno adalah bersyarat.

Antara syarat yang diletakkan sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu kata Zailah, kerajaan di bawah pimpinan Ismail juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut berharap keputusan yang dibuat nanti adalah yang terbaik dan menjadi tempat berlindung bagi rakyat Malaysia.

“Jadi kita meletakkan harapan akan menyambung legasi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita mengharapkan supaya mana-mana yang baik, yang kita sudah laksanakan untuk negara dan rakyat, diteruskan.

“Mana-mana yang mungkin ada kekurangan dan kelemahan itu kita semak balik,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, beliau turut berharap agar tiada lagi sebarang isu berbangkit membabitkan isu-isu menarik sokongan dan seumpamanya.

“Seperti yang kita tengok Tuanku sudah penat hendak melayan ahli-ahli politik ini. Setiap tahun angkat sumpah, menghadap, maknanya kita harapkan ada perubahanlah.

“Selepas ini berakhir dengan bubar parlimen dan pilihan raya. Tiada lagi isu tarik sokongan dan beri sokongan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -