
Oleh NORJULIANA YAACOB
YAN: “Ini adalah kejadian pertama sepanjang 50 tahun saya tinggal di sini,” itulah luahan salah seorang mangsa banjir kilat, Muhamad Ali Sobri yang berlaku di sekitar Yan dan Gurun, beberapa hari kebelakangan ini.
Muhamad Ali yang tinggal di Kampung Permatang Keramat berkata, kejadian berkenaan berlaku selepas beliau selesai menunaikan solat Asar.
Menurut beliau, beliau terkejut apabila orang menjerit memaklumkan terdapat banjir dan hanya dalam tempoh 15 minit sahaja air sudah naik ke paras lutut dengan pergerakan arus yang sangat kuat.
“Saya terkejut mendengar orang jerit kata ada air bah dan bila saya keluar rumah air dah penuh di laman.
“Air itu bewarna merah dan berkelodak, keadaan hujan yang lebat menghalang kami penduduk berbuat apa-apa.
“Tiada apa yang boleh kami lakukan dan hanya berdoa di dalam rumah sambil mengangkat barang-barang berharga ke sudut rumah yang lebih tinggi,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.
Tambah Muhamad Ali, kedudukan rumahnya yang terletak 100 meter dari sungai membuatkan air naik begitu cepat.
“Sebelum ini, jika hujan lebat sekalipun tidak pernah berlaku air masuk ke rumah dan ini adalah kali pertama.
“Kita reda dengan ujian Allah dan berharap kejadian ini tidak berulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021











