
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan di lstana Negara esok jam 2.30 petang.
Katanya pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik,” katanya pada kenyataan petang ini.
Menurutnya juga tuanku menzahirkan harapan agar pelantikan Perdana Menteri baharu, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.
Ketepi agenda politik
“Baginda juga mahu kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Ahmad Fadil juga berkata, sebelum itu baginda menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu.
Katanya, daripada surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Susulan itu kata beliau Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Sokongan Raja-raja Melayu
Kata beliau Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021




















