
23 JANUARI 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menerima laporan tiga kes disyaki dijangkiti coronavirus 2019 (2019-nCoV), dua di Sabah dan satu di Selangor.
KKM kemudiannya mengesahkan kes di Sabah adalah negatif.
21 Febuari 2020, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan bahawa kes aktif positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanya 22 kes dengan lima daripada di rawat di hospital.
Daripada lima kes yang masih dirawat itu, tiga daripadanya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), satu di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan satu di Hospital Sungai Buloh.
Hari sama, kerajaan PH memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk kerajaan mengenakan larangan menyeluruh terhadap semua pelawat dari China buat masa itu.
Namun kerajaan PH memutuskan untuk mengetatkan langkah-langkah saringan di pintu masuk negara.
24 Febuari 2020, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.
1 Mac 2020, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
9 Mac, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) manakala Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, dinamakan sebagai timbalannya.
Pada 21 April 2020, KKM, Kementerian Luar serta MOSTI telah membentuk suatu pendekatan diplomasi sains bagi membolehkan tindakan proaktif dalam menjalin kerjasama antarabangsa untuk mendapatkan bekalan vaksin.
Ketika itu, kesemua vaksin Covid-19 masih di peringkat kajian dan kebanyakannya belum memulakan apa-apa ujian klinikal ke atas manusia.
14 Oktober 2020, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memastikan bekalan vaksin diperoleh segera, selamat dan sempurna.
November 2020, kerajaan mula menandatangani perjanjian perolehan vaksin.
Perjanjian pertama yang telah ditandatangani adalah penyertaan Malaysia ke dalam fasiliti COVAX di bawah kelolaan Global Alliance for Vaccines and Immunisation (GAVI), The Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menerusi COVAX, setiap negara peserta mendapat jaminan bekalan vaksin antara 10 hingga 50 peratus populasi negara.
Kerajaan sehingga kini telah bersetuju untuk memperolehi vaksin AstraZeneca, Janssen serta Novavax daripada kemudahan COVAX ini.
24 November 2020, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian perolehan bersama Pfizer BioNTech bagi vaksin Comirnaty.
Jumlah dos vaksin yang akan diperolehi menerusi syarikat pembekal ini adalah sebanyak 20 peratus populasi negara.
Walau bagaimanapun, jumlah ini telah ditambah menerusi dua perjanjian tambahan (amended agreement) yang ditandatangani pada 22 Mac 2021 dan 19 Mei 2021 menjadikan jumlah terkini bekalan vaksin Pfizer yang dibeli adalah bersamaan 70 peratus populasi negara.
21 Disember 2020, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca sebanyak 10 peratus populasi negara.
23 Disember 2020, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dibangunkan sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin berjalan lancar apabila bekalan mula diperoleh pada suku pertama tahun 2021.
26 Januari, telah memeterai perjanjian pembelian vaksin keluaran Sinovac dan Gamaleya dan vaksin CanSino pada 29 Januari.
3 Februari, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 atau Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) bagi memastikan kelancaran PICK.
24 Februari, PICK dilaksanakan dengan Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin, disusuli Ketua Pengarah Kesihatan.
Perancangan awal, sasaran PICK bagi mencapai sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari 2022. Namun, tempoh masa ini telah disingkatkan kepada Disember 2021.
Strategi pelaksanaan PICK meliputi empat fasa utama mengikut keutamaan kumpulan sasaran.
Fasa 1, iaitu Februari hingga Mei, vaksin akan diberi untuk melindungi petugas barisan hadapan melibatkan anggaran seramai 500 ribu orang.
Fasa 2, iaitu April hingga Ogos, vaksin diberi bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu komorbid dan juga OKU.
Fasa 3 iaitu Jun hingga Disember, vaksin diberi kepada warganegara dan bukan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi mencapai sasaran populasi berjaya divaksinasi melibatkan anggaran seramai 14 juta orang.
Manakala, Fasa 4 merupakan fasa kawalan wabak dan berlangsung sepanjang masa mengikut penilaian semasa.
Sehingga 22 Julai, terdapat 2,313 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daripada pelbagai jenis dan saiz kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara tidak termasuk PPV yang dibuka secara sementara melalui program jangkau luar atau menerusi unit bergerak.
Dalam masa sama, seramai 16,133 orang sukarelawan bukan kesihatan terdiri daripada pelbagai pasukan keselamatan telah menyumbang bakti dalam pengoperasian PPV di seluruh negara.
Dengan angka itu, MOSTI berpendapat bahawa Malaysia tidak mempunyai masalah daripada segi kapasiti suntikan mahupun ketersediaan petugas kesihatan dan bukan kesihatan.
Namun kata Khairy, penghantaran bekalan vaksin serta jumlah dos yang diterima daripada syarikat pembekal vaksin menjadi petunjuk utama dalam menentukan kadar pemberian vaksin di Malaysia.
3 Jun, PICK telah mencapai hari ke-100 dan berjaya dan sebanyak 105,655 dos vaksin telah disuntik kepada sebahagian rakyat Malaysia.
26 Julai, kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi terutamanya ke atas
populasi di WP Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketika ini, perkembangan awal positif daripada PICK mula dapat dilihat di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Data yang dikumpul KKM menunjukkan bahawa kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin bagi populasi dewasa telah melebihi 40 peratus.
31 Julai, purata harian pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.
Hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.
14 Ogos menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya, tiada kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di WP Labuan.
Sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap di WP Labuan telah mencapai 88.1 peratus.
Pada masa yang sama, data daripada CPRC di hospital juga menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.
Contohnya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.
Sehingga 17 Ogos, sebanyak 28.84 juta vaksin telah disuntik kepada 11.4 juta individu yang lengkap dua dos vaksin, manakala 17.48 juta telah menerima dos yang pertama.
Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia
Selain daripada memastikan Malaysia mencapai herd immunity, MOSTI turut melancarkan dua inisiatif nasional iaitu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE).
Melalui kedua-dua inisiatif itu, peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara akan dilonjakkan dalam pertumbuhan ekonomi bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.
Gabungan DSTIN dan MySTIE akan memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring pertumbuhan ekonomi negara selain akan mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada teknologi luar dan buruh asing.
Malah, ia juga bakal membantu negara mencapai matlamat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM3.4 trilion menjelang 2030.
Dasar itu menggariskan enam teras strategik, 20 strategi dan 46 inisiatif bagi memperhebatkan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.
Sementara itu, Rangka Kerja 10-10 MySTIE yang dibangunkan Akademi Sains Malaysia (ASM) akan berfungsi sebagai pemangkin untuk mencapai usaha itu melalui penetapan 30 bidang keutamaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang memenuhi keperluan industri.
MOSTI juga telah mengumumkan 10 Program Lonjakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Antaranya ialah mewujudkan Technology Commercialisation Accelerator (TCA), Malaysia Science Endowment (MSE), National Technology Innovation Sandbox (NTIS) dan penubuhan National Vaccine Centre, yang akan memacu usaha-usaha pembangunan teknologi tempatan dan pengkomersialan hasil R&D negara.
Di samping itu, MOSTI akan memastikan bidang sains dan teknologi memberi manfaat kepada semua pihak secara inklusif tanpa meminggirkan sebarang pihak.
Seterusnya. mewujudkan masyarakat yang berpemikiran saintifik dalam menuju negara maju dan berteknologi tinggi.
Dalam hal ini, dasar baharu tersebut menggariskan pewujudan pusat komuniti sains berkonsepkan ruang reka (maker space) di lokasi-lokasi strategik di kawasan bandar dan luar bandar.
Malaysia juga telah menunjukkan peningkatan ranking dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index – GII) 2020 daripada tangga ke-35 pada tahun 2019, ke tangga ke-33 daripada 131 negara pada tahun ini.
Kini, dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tangga ke-2 di belakang Singapura, manakala dalam kalangan negara berpendapatan menengah tinggi (upper middle-income group), Malaysia juga berada di tangga ke-2 selepas China.
Malaysia Grand Challenge (MGC)
Demi mengajak masyarakat bersama-sama cuba mengatasi permasalahan serta menambah baik kehidupan masyarakat, sistem ekonomi dan persekitaran di peringkat nasional dan global,
Malaysia Grand Challenge (MGC) secara rasmi disokong oleh dana pembiayaan MOSTI.
Menerusi MGC, Malaysia akan mencari penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi mengikut bidang keutamaan yang telah dikenalpasti melalui kerangka 10-10 MySTIE dan juga 30 Niche Areas yang telah dibangunkan.
10 bidang keutamaan tersebut adalah tenaga, pendidikan, air dan makanan, pertanian dan perhutanan, alam sekitar dan biodiversiti, bandar pintar dan pengangkutan, perubatan dan penjagaan kesihatan, kebudayaan, kesenian dan pelancongan, perkhidmatan perniagaan dan kewangan serta teknologi dan sistem pintar (kejuruteraan dan pembuatan generasi baharu).
Bidang keutamaan itu akan dipadankan dengan 10 pemacu sains dan teknologi (Science & Technolgy Drivers) seperti 5G/6G, blockchain, advance intelligence system dan lain-lain.
Penekanan akan diberikan kepada projek berbentuk pembangunan eksperimental yang bersifat praktikal dan spesifik serta memberi ruang kepada inovasi menuju ke tahap yang lebih cepat ke arah pengkomersialan.
5 Skim Pembiayaan yang ditawarkan di bawah MGC iaitu :
- Strategic Research Fund (SRF)
SRF merupakan satu inisiatif top-down ke arah meningkatkan daya saing industri di Malaysia melalui bidang-bidang khusus yang ditawarkan oleh MOSTI atau isu strategik semasa.
Kuantum adalah sebanyak RM15 Juta dan tempoh projek adalah selama 36 bulan.
- Applied Innovation Funding (AIF)
Hasil yang dijangka daripada pembiayaan Dana AIF adalah produk, proses, sistem baharu atau hak Harta Intelek (Intellectual Property Right) yang bermanfaat untuk pelanggan, perniagaan dan masyarakat.
Menyedari pentingnya inovasi untuk penjanaan ekonomi (wealth creation) dan kesejahteraan sosial, kerajaan perlu mendorong idea inovasi dalam mewujudkan masyarakat saintifik dan inovatif.
Oleh itu, 500,000 peruntukan diperkenalkan untuk tempoh 12 hingga 18 bulan.
Cadangan projek di bawah AIF hendaklah berada di TRL 2 atau TRL 3 dan mencapai sekurang-kurangnya satu tahap lebih tinggi dari pembangunan semasa projek.
- Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1)
TeD1 terbuka kepada penyelidik dan syarikat yang berminat untuk melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan (RnD) bagi menghasilkan proses dan produk baharu dalam bidang yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan.
Projek RnD tersebut hendaklah berpotensi dalam menyelesaikan permasalahan di peringkat nasional secara lestari dan holistik.
Projek yang dicadangkan hendaklah sekurang-kurangnya pada tahap formulasi konsep, iaitu pelan atau reka bentuk penghasilan
teknologi, proses atau produk baru yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Hasil projek adalah, teknologi prototaip baharu, proses atau produk yang nilainya dapat dihasilkan untuk pelanggan, industri dan masyarakat.
Kuantum adalah sebanyak RM 1 Juta untuk tempoh 24 bulan dan cadangan projek di bawah TeD 1 hendaklah mencapai (Technology readiness level) TRL 2 hingga TRL 3.
- Dana Pembangunan Teknologi 2 (TeD 2)
TeD 2 terbuka kepada penyelidik dan syarikat yang berminat untuk melaksanakan projek RnD bagi menghasilkan proses dan produk baharu dalam bidang yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan.
Projek RnD tersebut hendaklah berpotensi dalam menyelesaikan permasalahan di peringkat nasional secara lestari dan holistik.
Selain itu, projek yang dicadangkan perlu sekurang-kurangnya mempunyai pembuktian konsep (proof of concept, POC) atau prototaip yang telah berfungsi (working prototype).
Projek juga mesti mempunyai reka bentuk yang baik, dibuktikan secara saintifik serta berdaya saing dengan teknologi dan penyelidikan masa kini.
Pembiayaan dana bagi teknologi, proses, produk yang berinovatif di peringkat prapengkomersialan tersebut, diharap dapat diterjemahkan kepada output yang dapat dipasarkan seterusnya memacu ekonomi dan memberi faedah kepada masyarakat. Cadangan projek di bawah TeD 2 hendaklah mencapai TRL 4 hingga TRL 6.
- Bridging Fund
RnD dan inovasi memainkan peranan penting dalam memajukan Sains dan Teknologi dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Menyedari kepentingan RnD dan inovasi, Kerajaan telah memperkenalkan pembiayaan Dana Bridging (BGF) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang berperanan mengatasi jurang pembiayaan yang wujud di antara tahap penyelidikan asas dan pengkomersialan.
Dana itu diharap dapat membolehkan hasil penyelidikan atau produk RnD yang telah siap untuk pasaran dapat melepasi pengesahan piawaian dan standard yang ditetapkan oleh badan regulatori tempatan atau antarabangsa.
Selain itu, dana ini juga dapat membantu proses up-scaling dan advanced packaging produk yang akan memberi nilai tambah
kepada hasil RnD tempatan bagi menembusi pasaran serantau dan
antarabangsa. Cadangan projek di bawah Dana Bridging hendaklah mencapai TRL 7 hingga TRL 8.
Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY)
Di samping itu, bagi menyokong aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi (RDnI) Kerajaan menyediakan pelbagai jenis dana bagi menyokong setiap fasa pelaksanaan RnD dan pengkomersialan (RDnC) dalam ekosistem pengkomersialan negara.
Sebagai tambahan kepada sokongan dana, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan fizikal dan khidmat nasihat seperti pusat inkubasi, infrastruktur RDnC, bantuan pemasaran dan audit teknologi yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan.
Secara umumnya, pelaksanaan RnD perlu melalui lima peringkat pelaksanaan, iaitu idea atau konsep, teori atau asas, prototaip atau pembuktian konsep, pra-pengkomersialan dan pengkomersialan.
Untuk maklumat, pengkomersialan RDnI merupakan suatu proses yang kompleks dan mencabar khususnya antara fasa pra-pengkomersialan dan pengkomersialan disebabkan oleh faktor-faktor seperti kekangan kewangan, persaingan dengan produk sedia ada, persepsi kualitidan penerimaan oleh pengguna, pematuhan kawal selia, pertikaian hak harta intelek dan sebagainya.
Kebanyakan produk RnD diakui sukar melepasi fasa interim ini yang dikenali sebagai “valley of death”.
Justeru, inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2016) atau Program Pengkomersialan RnD Negara akan meningkatkan keberkesanan usaha pengkomersialan menerusi kerjasama sinergi pelbagai pihak berkepentingan.
MCY 2016 merupakan program untuk melonjakkan hasil RDnI daripada universiti, institusi, dan agensi penyelidikan tempatan sebagai penjana kekayaan melalui proses pengkomersialan.
Dalam masa sama, MCY 2016 juga diilhamkan sebagai satu platform untuk meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan dan rakyat tentang kepentingan dan potensi inovasi dan pengkomersialan dalam meningkatkan pendapatan negara.
Minggu Sains Negara
Rentetan kejayaan pelaksanaan Minggu Sains Negara 2019, MOSTI meneruskan penganjuran program itu pada tahun 2020 dalam usaha menyemarakkan lagi aktiviti inovasi dan kreativiti negara.
Penganjuran Minggu Sains Negara secara tahunan itu akan menggunakan pendekatan berbeza berbanding penganjurannya pada tahun-tahun lepas bagi menggambarkan keterangkuman kemajuan sains dan teknologi yang bersifat dinamik.
Justeru , bagi meneruskan momentum kejayaan penganjuran Minggu Sains Negara, MOSTI telah merancang pelbagai aktiviti yang bermula pada minggu pertama bulan April 2020 di 14 buah lokasi di seluruh negara iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Aktivitu itu selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 agar penganjuran Minggu Sains Negara dilaksanakan pada minggu pertama bulan April setiap tahun di seluruh negara.
Walau bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 telah
menyebabkan perancangan aktiviti Minggu Sains Negara 2020 perlu diselaraskan dan disusun semula dengan mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.
Dana Malaysia Social Innovation (MYSI) dan My Tech Pitch
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya golongan B40 dan kumpulan yang terkesan akibat selepas pandemik Covid-19, MOSTI telah melaksanakan projek aplikasi teknologi tempatan yang berinovatif yang sedia dilaksanakan secara mampan.
Objektif itu akan dilakukan melalui Dana Malaysia Social Innovation (MYSI) untuk memastikan negara mempunyai modal insan yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran pelbagai, berdaya kreatif
dan inovatif bagi memenuhi keperluan negara menjelang 2050.
MySI juga dibangunkan unuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama, dan menghadapi ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bertemakan ‘Merakyatkan Inovasi Demi Kesejahteraan Masa Hadapan’.
Selain itu, sebuah platform khas oleh MOSTI, My Tech Pitch dilaksanakan secara kerjasama strategik dengan mengguna pakai konsep quadruple helix dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi di bawah MOSTI serta keterlibatan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Ini jelas menunjukkan kesungguhan komitmen Kerajaan, untuk menggembleng sumber secara bersama bagi menghasilkan impak ‘game-changer’ kepada ekosistem pengkomersialan produk, teknologi, perkhidmatan RnD tempatan negara.
Di samping itu, MyTech Pitch juga akan membawa dan mengumpulkan penyelidik RnD tempatan negara serta memberi peluang memperkenalkan produk teknologi, perkhidmatan mereka kepada bakal startups atau venture dan capitals atau angel investors. – HARAKAHDAILY 19/8/2021











