
Oleh SUHAIZI KADIR
KOTA BHARU: Anak jati kelahiran Kampung Lembah, Semerak, Suhaimi Mat Hasan, 45, bakal memulakan tugas mengadili perlawanan-perlawanan bagi Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 FIFA.
Perlawanan yang akan diadili oleh Suhaimi itu dijangka berlangsung di Moscow, Rusia bermula 19 hingga 29 Ogos ini.
Suhaimi yang juga merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun Terengganu tersebut sebelum ini pernah terlibat dalam empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.
Katanya, peluang yang diberikan itu merupakan kenangan paling manis, terutamanya apabila terpilih bertugas pada aksi final antara pasukan Itali dan Portugal di Edisi 2019 di Paraguay.
Suhaimi juga berharap keberadaannya di arena pengadilan peringkat dunia menjadi inspirasi kepada anak-anak muda tempatan.
Khususnya kepada belia Kelantan untuk sama-sama mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily, pada Selasa.
Pada 13 Ogos, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengadil bola sepak pantai kebangsaan, Suhaimi Mat Hassan akan berlepas ke Moscow, Russia pada hari sama. – HARAKAHDAILY 19/8/2021











