Kadar vaksinasi lengkap di Lembah Klang 73.8 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkembangan awal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang semakin positif.

Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kesemua negeri terbabit mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 selepas liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa melebihi 40 peratus.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, data Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang bertambah baik.

- Advertisement -

Contohnya kata beliau purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang menurun.

“Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.

“Apabila liputan imunisasi meningkat, kita akan melihat kes-kes Covid-19 yang perlu dimasukan ke ICU mula menunjukkan trend mendatar dan diharapkan akan menurun,” katanya pada satu kenyataan petang ini.

Sebelum itu perdana menteri menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sidang Khas MKN juga bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri dalam Fasa 1 PPN.

Pada 8 dan 15 Ogos lepas kerajaan mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Perdana Menteri berkata, pertimbangan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus.

“Pencapaian ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos 2021,” katanya.

Kemudahan-kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi sektor sosial secara amnya adalah seperti berikut:

a. Aktiviti Dine-In kini dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya:

b. Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.
i. Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

ii. Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

iii. Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

iv. Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

v. Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya. Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti berikut:

a. Operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu adalah dibenarkan.

Kesemua kemudahan itu akan mula berkuatkuasa pada 20 Ogos ini (esok). – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -