Hujan ekstrem punca fenomena kepala air di Gunung Jerai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan tinjauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mendapati terdapat taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Kedah bermula sekitar jam 2.30 petang, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, keadaan itu telah menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di kawasan penempatan di daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah.

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan maklumat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 mm dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.

Tambahnya, dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm.

“Berdasarkan rekod, pada jam 6.00 petang, hujan yang turun telah melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI), manakala kemuncaknya ialah pada jam 8.00 malam iaitu melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278 mm,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian hujan yang ekstrem itu telah menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 meter hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di daerah Yan.

Beliau berkata, hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.

Menurutnya lagi, pihak KASA bersama agensi-agensi di bawahnya, termasuk kerajaan negeri telah mengambil tindakan termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -