Covid-19: Perlu ketepi agenda politik demi rakyat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sepatutnya semua ahli politik perlu bekerjasama dan bersatu hati dalam menangani isu Covid-19 terlebih dahulu sebelum memikirkan perkara lain.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, dalam situasi pandemik sekarang ahli politik perlu mengenepikan dahulu agenda politik demi kepentingan rakyat.

“Bagi saya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah melaksanakan tugas sebaik mungkin tetapi kerana isu Covid-19 yang berlaku menyebabkan banyak halangan terpaksa beliau hadapi.

- Advertisement -

“Beliau menjadi perdana menteri (PM) dalam keadaan negara mengalami bencana pandemik, sudah tentu ia merupakan satu keadaan yang sangat mencabar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga berharap semua ahli politik perlu menyerahkan kemelut politik yang berlaku sekarang kepada kebijaksanaan Yang di Pertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya juga perlu diyakini Yang Dipertua Agong akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat yang sedang getir menghadapi krisis Pandemik Covid-19 sekarang.

“Terbukti baginda dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku seperti sebelum ini.

“Sesiapa pun yang dilantik sebagai perdana menteri, semua pihak perlu terima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Hari ini perdana menteri dilapor mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara berikutan kemelut politik yang berlaku ekoran beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Dr Rosdi juga berkata, Muhyiddin sudah sedaya upaya mentadbir negara sebaik mungkin, sebagai manusia biasa mesti ada kekurangan.

Menurutnya juga pelantikan Perdana Menteri Interim mungkin pilihan terbaik buat masa ini sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan bagi mendapat semula mandat rakyat.

“Kalau kita tengok, sama ada di sebelah pembangkang atau kerajaan tidak mempunyai majoriti yang cukup, jadi pelantikan Perdana Menteri Interim itu penting dalam menstabilkan semula politik.

“Ini kerana walaupun PRU sebenarnya adalah jalan terbaik, namun keadaan tidak mengizinkan dan tidak sesuai diadakan pilihan raya umum sekarang, maka dengan adanya Perdana Menteri Interim, pentadbiran kerajaan boleh terus berjalan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -