
Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Berita desas-desus peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut menarik perhatian beberapa artis tanah air yang meluahkan rasa sedih di media sosial.
Berita itu semalam dikhabarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Khabaran itu sekali gus merentap sebahagian besar rakyat yang berkongsi kesedihan atas berita berkenaan.
Kebanyakan mereka mengemukakan rasa kesal dengan tindakan ahli-ahli politik dari pelbagai parti yang mendesak Muhyiddin meletak jawatan meskipun beliau menawarkan ‘perpaduan’ dengan pembangkang.
Ia bertujuan untuk meredakan polemik politik dan sama-sama berganding bahu mengurus negara dan rakyat yang masih dibelenggu dengan kesukaran pandemik Covid-19.
Keributan politik negara yang tidak bermusim itu mungkin akan surut hari ini selepas perdana menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, ramai pihak meramalkan apa yang akan berlaku sama ada Yang di-Pertuan Agong menerima perletakan jawatan Muhyiddin dan melantiknya semula sebagai Perdana Menteri Interim sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Ia sebagai syarat memenuhi penolakan ahli-ahli parlimen pembangkang terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Atau Yang di-Pertuan Agong menerima surat perletakan jawatan Muhyiddin dan mencadangkan nama calon lain sebagai pengganti.
Suasana penarikan semula sokongan Umno kepada Muhyiddin mengikut ‘laras’ Umno dalam Perhimpunan Agong Umno (PAU) 2020 yang mencapai kesepakatan meskipun tidak dimuktamadkan tarikhnya.
Pada PAU penulis masih terngiang di ingatan, ucapan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyebut ‘Umno bukan diperintah, tetapi Umno yang memerintah’. – HARAKAHDAILY 16/8/2021




















