Sultan serius dengan situasi politik tanah air sekarang

- Advertisement -

KANGAR: Peringatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan negeri perlu menjadi ingatan semua pihak.

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Saifizi Saidon berkata, titah sedemikian itu menunjukkan baginda sangat serius dengan situasi semasa politik tanah air sekarang.

Katanya baginda melihat sendiri sifat sesetengah pemimpin politik hari ini langsung tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

- Advertisement -

Sedangkan sepatutnya titah baginda itu menjadi panduan kepada semua pemimpin politik untuk bersikap lebih profesional bagi menguruskan isu rakyat.

“Biarpun kita melihat ada dua pandangan yang berbeza sama ada kerajaan atau pembangkang, seharusnya mereka membawa agenda rakyat terlebih dahulu.

“Apa tujuan diangkat sebagai pemimpin, jika hanya sekadar bercakap menyampaikan perasaan marah tanpa mengetengahkan idea yang bernas kepada kerajaan untuk kebaikan rakyat.

“Jika mereka belum bersedia menyampaikan solusi kepada rakyat bagaimana untuk menjadi pengganti kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya ketika dihuubungi di sini.

Ketika merasmikan persidangan Dun Johor semalam Sultan Ibrahim bertitah jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaannya sekarang, baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan kerajaan Johor.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat,” titah baginda.

Dr Mohd Saifizi juga berkata, pendekatan politik secara profesional atau matang perlu menjadi amalan semua pemimpin memandangkan mereka merupakan contoh kepada rakyat.

Bagaimanapun menurutnya apa yang berlaku sekarang pemimpin politik membawa suara demi kepentingan peribadi.

Kata beliau juga politik emosional perlu ditinggalkan sama ada di pihak penyokong kerajaan atau pembangkang.

“Ini kerana rakyat sedang berhadapan dengan kesukaran menghadapi pandemik yang memerlukan kerjasama mantap kerajaan dan pembangkang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Pemimpin di semua peringkat sama ada kerajaan atau pembangkang hendaklah bersama mencari titik persamaan. Jangan terlalu membina ruang perbezaan sehingga muncul kumpulan yang berdemonstrasi tanpa menghirau pandemik,” ujarnya.

Menurutnya juga pertembungan politik yang berlaku sekarang memberi kesan sangat buruk kepada masyarakat.

“Maka binalah persamaan kerana dengan persamaan itu akan membina kesatuan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang dengan niat memberi khidmat kepada rakyat,” tambahnya.

Pada persidangan khas parlimen akhir bulan lepas pembangkang acap kali membuat riuh rendah termasuk mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -