
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan 175 NGO Islam Malaysia merayu Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan dalam kemelut politik tidak berkesudahan sekarang.
Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa, berkata perkara utama yang diutarakan dalam memorandum tersebut menjelangnya langkah kerajaan mengadakan persidangan parlimen pada September ini.
Katanya, pelbagai karenah pemimpin politik membuat kenyataan, saranan, dan juga suruhan-suruhan yang kita lihat tiada kesudahannya.
“Mereka bercakaran sehingga kita melihat negara boleh terancam dan hilangnya kestabilan serta menghilangkan keamanan dan keharmonian negara.
“Perkara utama yang kita utarakan dalam memorandum ini dan berharap Kebawah Duli Yang Maha Mulia campur tangan supaya negara terus aman, stabil dan harmoni.

“Serta dapat mengekalkan terus kerajaan yang ada untuk melaksanakan pengurusan berkaitan pandemik Covid-19 ini dengan sebaiknya sehingga keadaan terkawal,” kata beliau pada sidang media di Pintu 3 Sri Istana hari ini.
Beliau juga merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menasihati semua pemimpin politik fokus kepada keadaan yang ada pada hari ini untuk memastikan keselamatan dan juga kesejahteraan rakyat dapat terkawal daripada wabak Covid-19.
Beliau berharap agar rakyat dapat menilai kepimpinan politik yang ikhlas, jujur dan bertanggungjawab kepada kerajaan sekiranya berlaku pembubaran parlimen pada masa akan datang.
“Kita tidak mahu Dewan Rakyat diperlakukan dengan sebegitu buruk seperti pertengkaran dan perkara yang tidak diingini rakyat.
“Sedangkan rakyat hendak mendengar apakah cadangan dan apakah peranan daripada ahli parlimen untuk memperbaiki keadaan rakyat pada hari ini.
“Tetapi apa yang rakyat tonton perebutan kuasa dan perbalahan ahli politik. Saya kira ini sangat memberikan imej buruk kepada negara dan juga pentadbiran kerajaan yang ada,” tegas beliau.
Mohd Zai juga berkata, mungkin keadaan akan terkawal semula selepas Yang di-Pertuan Agong menyerahkan mandat kepada rakyat sekiranya keadaan sudah terkawal untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
Memorandum tersebut mengetengahkan 10 perkara untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Aong dengan sokongan 175 NGO di seluruh negara.
“InsyaAllah kita akan ada tiga gelombang sokongan dan mungkin dua tiga minggu lagi kita akan menghimpunkan seluruh NGO secara maya untuk memberikan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ini adalah betapa pentingnya menjaga kepentingan rakyat dan juga keselamatan serta kesejahteraan, kestabilan waktu ini supaya rakyat tidak menjadi mangsa dalam keadaan terumbang-ambing,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 13/8/2021











