
BERDASARKAN kepada fakta dan data, dengan kemunculan Varian Delta, dunia menerima 100 juta peningkatan jangkitan COVID-19 sejak enam bulan terakhir ini. Setakat hari ini, lebih 200 juta kes jangkitan COVID-19 dengan lebih 4 juta kematian direkodkan di seluruh dunia. Ini menunjukkan bahawa peningkatan jangkitan COVID-19 adalah isu global bukan Malaysia sahaja.
Namun, pemimpin dunia luar tidak menjadikan isu Pandemik COVID-19 sebagai alat politik untuk menjatuhkan kerajaan. Tiada juga Hashtag #KerajaanGagal yang menjadi trending nombor satu di Malaysia.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat sebuah negara maju yang mengeluarkan vaksin. Namun, jangkitan COVID-19 rakyatnya melebihi 36 juta, angka kematian melebihi 600 ribu. Kematian harian pernah mencecah 3,400 orang sehari.
Tetapi Dewan Senat Amerika Syarikat tidak memanggil anggotanya bersidang untuk melancarkan bantahan kepada Presiden Joe Biden. Bahkan parti pembangkang Republikan juga tidak melancarkan kempen menggunakan isu COVID-19 sebagai senjata menyerang Presiden Joe Biden.
Mereka memberi ruang kepada Presiden supaya dapat fokus menanganinya. Bahkan mereka turut sama berkempen menggalakkan rakyat agar mengambil vaksin. Lebih cantik lagi, sebahagian daripada pemimpin menawarkan hadiah kepada individu yang cucuk vaksin.
India merupakan negara kedua jangkitan tertinggi di dunia. Lebih 32 juta rakyatnya telah dijangkiti (sama ramai dengan jumlah rakyat Malaysia). Angka jangkitan harian pula pernah mencecah 385,000 hingga 400,000 kes. Manakala angka kematian 3,500 orang sehari. Jumlah kematian kini melebihi 400 ribu orang.
Namun, parti Kongres Nasional India (INC), merupakan parti pembangkang utama di India hanya mendesak kerajaan agar melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya bagi menangani peningkatan COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Rakyat Jepun sepatutnya keluar protes kerajaannya yang menjadi tuan rumah kepada sukan Olimpik ketika wabak COVID-19 meningkat lebih 15,000 kes sehari. Tetapi mereka tak keluar berdemonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan. Bahkan mereka fokus untuk memastikan sukan Olimpik berjalan dengan baik.
Kesimpulannya, pemimpin-pemimpin dunia luar tidak menjadikan COVID-19 sebagai senjata untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan inilah peluang keemasan parti pembangkang untuk menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan. Bersatu kita kuat dan teguh, bercerai kita musnah dan lemah.
“Jengka Sejahtera”
“Kerajaan Prihatin”
“Islam Memimpin Perpaduan”
USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL HAFIZ – HARAKAHDAILY 12/8/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/219745198133003/posts/4118376998269784/











