Hospital siap siaga hadapi peningkatan kes Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menyediakan empat wad bagi pesakit biasa antaranya di Bangunan Pusat Rawatan Harian (ACC).

Pengarah HRPZ II, Dato’ Dr Selasawati Ghazali berkata, dalam apa jua keadaan pihak hospital perlu bersedia memandangkan sekarang berlaku peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Katanya, ketika kes Covid-19 meningkat sekarang ruang boleh digunakan fasiliti HRPZ II sebagai kesiapsiagaan di kawasan hospital.

- Advertisement -

“Kita ada ruang di hospital jadi kita kena optimakan ruang-ruang yang ada sebaik mungkin dan dijadikan sebagai wad sementara bagi pesakit biasa.

“Selain itu menukarkan wad biasa kepada wad untuk rawatan serta pengasingan pesakit Covid-19,” katanya di sini semalam.

Menurutnya juga sekiranya hendak membuka hospital medan ia tentunya akan mengambil masa.

Mengulas isu sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, beberapa hospital termasuk HRPZ II mula menggunakan ruangan fasiliti yang sesuai untuk dijadikan wad bagi pesakit biasa.

Katanya ia sebagai kesiapsiagaan sekiranya berlaku peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau menafikan dakwaan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu berpunca aktiviti sosial iaitu menjamu selera atau ‘dine-in’ di kedai makan atau restoran.

Kata beliau kenaikan kes Covid-19 tersebut tiada kaitan dengan aktiviti makan di kedai seleps diberi kelonggaran oleh kerajaan.

Katanya, peningkatan kes jangkitan Covid-19 bukan kerana aktiviti ‘dine-in’ memandangkan aktiviti itu baru sahaja bermula Selasa lepas.

“Malah ia melibatkan kes semasa termasuk kluster-kluster sedia ada atau kluster baharu yang dicatat di setiap daerah dan kawasan,” katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi Whatsapp mendakwa peningkatan kes Covid-19 di Kelantan disebabkan aktiviti menjamu selera di kedai makan setelah dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam tempoh dua hari lepas Kelantan merekodkan kes harian Covid-19 kepada 1,284 kes semalam, manakala sebanyak 1,030 kes pada Selasa. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -