Tambahan vaksin inisiatif TMJ: Wanita PN Johor menjunjung kasih

- Advertisement -

WANITA Perikatan Nasional Negeri Johor (PN Johor) hari ini menjunjung kasih dan ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas pemberian tambahan vaksin hasil usaha sama TMJ, Kerajaan Johor dan Persekutuan dalam waktu terdekat.

Kita amat memahami bahawa kadar vaksinasi di Johor masih di tahap yang rendah buat masa ini. Oleh itu sudah pasti berita gembira untuk rakyat Johor apabila dikhabarkan bakal menerima penambahan sebanyak dua juta lagi dos vaksin untuk bulan Ogos 2021 ini.

Wanita PN Johor ingin merakamkan rasa terharu dan teruja dengan makluman bahawa penambahan sebanyak dua juta dos vaksin lagi akan diberikan hasil perbincangan yang dijalankan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bersama-sama dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Kerajaan Negeri Johor baru -baru ini.

- Advertisement -

Terdahulu, pada 5 Ogos lalu, KDYMM Baginda Sultan Johor telah menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di Johor yang masih rendah.

Dan selanjutnya pada 9 Ogos lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba telah menyatakan tambahan dua juta dos meliputi semua jenis vaksin yang mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin di Johor.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia juga bahawa bekalan dua juta dos vaksin yang bakal diterima tersebut dijangka akan tiba pada minggu pertama, 1 Ogos sebanyak 324,940 dos, minggu kedua, 9 Ogos sebanyak 564,234 dos, pada minggu ketiga, 16 Ogos sebanyak 340,150 dan minggu seterusnya, 23 Ogos sebanyak 796,344 dos.

Wanita PN Negeri Johor begitu optimis dan percaya bahawa pastinya penambahan bekalan 2 juta dos vaksin ini, akan banyak memberi manfaat kepada rakyat Johor khususnya yang masih belum menerima vaksin walaupun satu dos.

Sudah pasti, ini merupakan satu ikhtiar dan langkah yang terbaik untuk mempercepatkan lagi program vaksinasi di seluruh Negeri Johor bagi memastikan seramai mungkin rakyat Johor divaksinasi dengan lebih cepat bagi mencegah penularan wabak COVID 19 yang semakin mengganas.

Dengan cara ini juga akan membolehkan kelompok-kelompok berisiko tinggi dapat dilindungi supaya imun badan mereka lebih kuat untuk melawan wabak COVID-19 jika dijangkiti dari masa ke semasa.

Justeru, kita sebagai rakyat Johor perlu menyokong usaha ini dengan bersetuju untuk mengambil vaksin bagi mempercepatkan sasaran imuniti kelompok di negeri ini.

Sekali lagi Wanita PN Johor ingin menyeru kepada mereka yang masih belum berdaftar, daftarlah dengan segera bagi melindungi diri dan keluarga yang tersayang dari serangan wabak COVID-19 sebagai salah satu langkah pencegahan dan usaha ikhtiar. 

“Lindungi Diri, Lindungi Semua”

Sekian terima kasih.

Salam hormat:

NORMALA SUDIRMAN
Ketua Penerangan 
Wanita Perikatan Nasional
Negeri Johor

Merangkap 
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS 
Negeri Johor – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -