
Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Johor menyokong penuh Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dilihat cukup cakna terhadap pentadbiran kerajaan.
Ketuanya, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, baginda berpandangan bahawa pentadbiran kerajaan merupakan satu keperluan mendesak saat ini untuk terus fokus menyantuni rakyat.
Beliau turut menyifatkan Tuanku Sultan Ibrahim sebagai seorang Sultan yang bertanggungjawab dan peka pada keadaan semasa.
“Melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (15 Julai) telah menyiarkan sekurangnya dua kali teguran berkaitan kuasa yang sedang sibuk direbut pada saat sepatutnya kita memberi fokus kepada derita nadi rakyat.
“Kedua-dua teguran tersebut ringkas dengan hanya mengajak kita kembali kepada Al-Quran melalui surah Ali ‘Imran ayat 26 yang bermaksud ‘Katakanlah (Muhammad), “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkaulah berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang cabut kekuasaan daripada siapa pun yang Engkau kehendaki.
“Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu’.
“Dan seterusnya, hadis Baginda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud, ‘sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari Kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik),” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Nawfal juga menyifatkan baginda sebagai Sultan kebanggaan Bangsa Johor dan menganggap bahawa teguran bagina sangat bertepatan pada waktu dan realiti semasa.
“Ketegasan Tuanku amat kami hargai dan sewajarnya menjadi petunjuk buat seluruh lapisan masyarakat khususnya, pemimpin seperti mana yang menjadi fokus teguran baginda Tuanku tersebut.
“Pada saat kritikal ini, sewajarnya kita semua memberi fokus segala kudrat dan kemampuan, harta dan tenaga, membantu dan menguatkan antara satu sama lain.
“Sebagai pemimpin, kita seharusnya menjadi teladan yang baik. Malah hakikatnya, setiap pemimpin pasti ada pengikut dan pengaruh masing-masing.
“Ruang kepimpinan ini sepatutnya mendidik anak buah kita untuk saling berganding bahu hatta, ke tahap mengetepikan perbezaan politik,” kata beliau.
Sehubungan itu, segala perancangan dan inisiatif kerajaan sewajarnya diangkat oleh semua pihak agar menggembleng sepenuhnya untuk segera sampai kepada sasaran rakyat yang amat memerlukan bantuan-bantuan kerajaan.
Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak bertenang, dan menjadikan rakyat dan negara sebagai fokus utama serta bersama-sama membantu kerajaan berdepan pandemik Covid-19.
“Sekali lagi, sebagai pemimpin masyarakat, kita sewajarnya terlebih dahulu menenangkan ahli dan anak buah untuk menjadi pemimpin terpikul dengan amanah dan tanggungjawab.
“Sekarang bukan waktunya berebut kuasa dan mencari peluang menjadi nombor satu dalam pentadbiran, sebaliknya sekarang masa untuk menjadi nombor satu dalam menjalankan kebajikan. Fastabiqul khairat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 11/8/2021











