
JERANTUT: ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud sentiasa proaktif turun padang bagi menyantuni pelbagai hal ehwal keperluan warga penduduk dan menguruskan aduan berkaitan untuk dipanjangkan ke pihak bertanggungjawab.
Minggu lalu beliau telah membuat sumbangan kewangan kepada surau dan masjid di beberapa kariah serta persatuan-persatuan masyarakat kaum Tiong Hua, sukan, pekerja dan peniaga serta kebajikan lainnnya.
Inisiatif lain mendekati penduduk dan memantau mereka agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diadakan menerusi agihan ikan patin percuma.
Cek sumbangan kewangan telah diserahkan beliau buat Surau Kampung Seri Muda, Surau Rancangan Tanah Pemuda Dinding dan Masjid Kampung Gintong sempena program ‘Sejahtera Untuk Semua’ di premis ibadah tersebut.
Juga menerima adalah Gabungan Persatuan Cina Daerah Jerantut diwakili Pengerusinya, Dato’ Lam Kuan Yaw dan Persatuan Kwangsi Jerantut yang dipengerusikan oleh Sam Cho Wah serta Kelab Sukan dan Budaya Jerantut dipengerusikan Dato’ Koh Ah Kuan.
Selain Kelab Pekerja dan Peniaga Jerantut dipengerusikan Wong Tiaf San serta Persatuan Kebajikan Kim Lan oleh Pengerusinya, Goh Sai Aik dan Kelab Rukun Tetangga Sungai Jan yang dipengerusikan Wok Khai Man.
Katanya, pemberian tersebut kerana memahami kesan pandemik COVID-19 ketika ini dan berharap ia dapat meringankan keperluan dan membantu kalangan yang terjejas dengan situasi ketika ini termasuk PKP.
“Kita amat prihatin kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum. Semoga bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh pihak pengurusan kepada semua,” ujar beliau yang juga Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang.
Beliau juga dalam inisiatifnya untuk membantu para penternak ikan patin yang terjejas dalam memasarkan hasil ikan mereka telah mengadakan program agihan ikan patin percuma di Kampung Perlok dan Kampung Ulu Cheka.
Sumbangan ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membantu penduduk kampung yang tidak berkemampuan dan menggembirakan buat yang berkemampuan, bertepatan dengan slogan ‘PAS Sejahtera Untuk Semua’.
Program yang dilaksanakan melalui kaedah pandu lalu bagi mengelakkan berlakunya kesesakan orang ramai dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan pemantauan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jerantut.
Program ini juga melibatkan kerjasama dengan pengusaha perternak ikan patin Perlok iaitu Mohd Amirul Alias, 28 tahun dan Khairul Faizin Abdullah, 36 tahun serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perlok dan Kampung Ulu Cheka.
‘’Saya berkesempatan mengagihkan ikan patin secara percuma sebanyak 400 kilogram yang disumbangkan dan seramai 400 penerima mendapat manfaat menerusi program pemberian ikan percuma dan berjaya mengedarkannya dalam tempoh dua jam sahaja,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 6/8/2021













