Himpunan pembangkang jelas bertujuan politik semata-mata

- Advertisement -

BENTONG: Satu laporan polis telah dibuat oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Pahang terhadap himpunan ahli politik pembangkang dan kumpulan baju hitam, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong, di sini kelmarin dahulu.

Pengerusi UMMAH Pahang, Ustaz Roslan Mad Esa berkata, laporan ini melibatkan anak muda berbaju hitam dan ahli parlimen pembangkang yang dilihat sengaja mencipta huru-hara serta kekecohan tanpa peduli dan sensitif terhadap kesusahan rakyat.

- Advertisement -

“Mengapa susah sangat untuk mereka faham? Pelajar sekolah, bila sekolah ditutup, mereka tidak datang ke sekolah tetapi Ahli-ahli Parlimen ini, bila Parlimen tutup, mereka datang juga ke Parlimen, menjerit-jerit dan terkinja-kinja.

“Sedangkan waktu Parlimen bersidang, mereka tidak membincangkan pun perkara terkait secara langsung dengan kesusahan dan keselamatan rakyat, ekonomi negara dan bagaimana nak turunkan angka COVID-19.

“Sebaliknya mereka sibuk nak tukar kerajaan, desak Tan Sri Muhyiddin dan Speaker letak jawatan,” ujar beliau terhadap himpunan tersebut di sebalik kes positif COVID-19 sedang memuncak.

Tindakan mereka ini juga jelas Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong itu, hanya mahu bermain politik dan bukanlah untuk membantu kerajaan menghadapi situasi yang kini sangat kritikal menghimpit rakyat. 

Katanya lagi, kumpulan wakil rakyat ini perlu bertanggungjawab sekiranya perhimpunan tersebut menjadi kluster baru dan menyebabkan kes COVID-19 negara naik mendadak.

“Himpunan mereka juga jelas melanggar undang-undang semasa dan tidak mengikut serta mematuhi prosidur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. 

“Perkara ini sangat serius dan perlu diambil tindakan susulan oleh pihak berkuasa serta dihadapkan mereka dengan hukuman yang setimpal sepertimana rakyat dikompaun di luar sana,” ujar beliau.

UMMAH Pahang menurut Roslan, amat kesal dengan kekecohan yang berlaku dan ini memberi gambaran bahawa puak-puak ini langsung tidak peduli dan menghormati keluarga mangsa korban COVID-19.

“Bukan naratif perpecahan, kekacauan dan ketidakstabilan ini yang kita mahu tonjol dan sajikan. Rakyat mahu pemimpin berjuang mencari jalan, menyelesai dan membawa mereka keluar dari masalah yang sedang mencengkam dan menggigit rasa.

“Mereka pula mahu apa? Pilihan raya? Bubar Parlimen? Sabarlah, pilihan raya semakin hampir, sabar dan teruslah bersabar. Janganlah gelojoh dan tamak kuasa, rakyat sedang menilai.

“Dulu masa mereka ada kuasa, dah peluk Putrajaya pun tapi mereka tak sedar diri dan tak fikir pun tentang rakyat sebaliknya hanya fikir tentang diri mereka sahaja,” tempelak Roslan. 

Isnin lalu, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang dikepalai Dato’ Seri Anwar Ibrahim berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penutupan dan penangguhan Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Turut hadir memberi sokongan kepada UMMAH Pahang, Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah bersama wakil Cakne Rakyat, Fairuz Kasmuri. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -