
SELEPAS menguruskan bantuan untuk PKPD Ulu Selama, saya mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Penguatkuasan Kilang-kilang Haram secara online.
Agensi yang bersama dalam mesyuarat pagi ini ialah Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Batu Gajah, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam Ops Bersepadu Kilang Haram sebelum ini. Tindakan ini selari dengan keputusan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan iaitu penutupan kilang haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Tindakan ini diketuai oleh Kerajaan Negeri sendiri, terutamanya PBT dengan mensasarkan tiada lagi kilang haram di negeri masing-masing.
Operasi Bersepadu yang telah dilakukan pada 6 Mei 2021 yang melibatkan 5 agensi, iaitu JAS, PDRM, JKKP, PDT Kinta dan Jabatan Imigresen. Turut hadir YB ADUN Teja.
Mesyuarat yang diadakan ini merujuk kepada dua kes, iaitu di Tanjung Tualang dan Keramat Pulai antara lain meneliti status tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil oleh agensi-agensi terlibat dalam Ops Bersepadu Kilang Haram sebelum ini.
Insya-Allah mesyuarat Tadbir Urus ini akan diadakan secara berkala sehingga kes siasatan selesai, dan platform ini turut boleh digunakan untuk meneliti sebarang kes-kes baharu seumpama ini.
Kerjasama semua pihak dan agensi, sangat diharapkan bagi menjayakan sebarang Ops Bersepadu mahupun dalam platform lain agar hasrat mewujudkan pembangunan lestari berjaya. Insya-Allah. Alhamdulillah, selesai mesyuarat sesi pertama.
Ada sesi kedua pula. Saya mempengerusikan mesyuarat Tadbir Urus Pengurusan Buangan Terjadual dan Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Tapah.
Antara yang hadir dalam mesyuarat ini ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Daerah Tapah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, dan Yayasan Perak.
Isu pelupusan buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan adalah isu yang sangat serius. Ia memerlukan perhatian semua pihak secara teliti, menyeluruh dan berkesan.
Isu ini selalu mendapat perhatian di kalangan masyarakat awam. Contohnya, beberapa kejadian pelupusan haram buangan terjadual sebelum ini seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang telah menyebabkan berlakunya ‘bencana alam sekitar’.
Kejadian pelupusan haram di dalam kawasan TPS milik PBT adalah satu perkara yang sangat serius dan memerlukan tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan keadaan.
Kelemahan dalam pengurusan TPS mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2009 perlu diteliti dan dipatuhi agar ia tidak menjadi isu yang tidak sepatutnya.
Mesyuarat libat urus kali ini diadakan bagi meneliti status tindakan berkaitan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan buangan terjadual serta dalam aspek pengurusan sisa pepejal.
YB MOHD AKMAL HAJI KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 5/8/2021
Sumber Asal:
https://m.facebook.com/154446448068883/posts/1880024932177684/
https://m.facebook.com/154446448068883/posts/1880039708842873/











