Perak bantu pekebun atasi lambakan durian

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan negeri berusaha membantu pekebun dan peraih durian yang menghadapi masalah memasarkan hasil kebun mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan RM300,000 bagi membeli lebihan durian.

Katanya, durian tersebut diedarkan kepada petugas barisan hadapan di sekitar Ipoh.

- Advertisement -

“Ini adalah inisiatif membeli lambakan durian daripada pekebun sekitar Larut bagi mengelakkan pembaziran.

“Lambakan durian berlaku kerana pasarannya terhad selain pekebun tidak mampu menjual hasil kebun akibat PKP,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya juga, inisiatif itu sebagai usaha mengatasi lambakan durian di samping dapat membantu pekebun di kampung-kampung.

Kata beliau, sumbangan durian kepada petugas barisan hadapan sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada mereka di atas jasa dan bakti yang diberikan.

“Hari ini (semalam) kita membuat agihan durian sebanyak satu tan kepada petugas-petugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Ipoh-Selatan.

“Selain itu Simpang Pulai dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia melibatkan hampir 610 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -