Tingkat suntikan vaksin hadapi musim tengkujuh

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Parlimen Kubang Kerian akan beroperasi bagi pusingan kedua membabitkan seramai 4,200 penerima untuk menerima suntikan kedua yang dijangka bermula 16 Ogos selama dua minggu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu sebagai persediaan menghadapi kedatangan musim tengkujuh tidak lama lagi.

- Advertisement -

Katanya pusingan pertama bermula 26 Julai lepas sehingga 5 Ogos.

“Hari ini hari terakhir bagi dos pertama seramai 4,200 penerima dengan purata kira-kira 500 penerima sehari. Dan hari ini 438 penduduk menerima suntikan.

“Pemberian vaksin juga akan diadakan di Masjid Pendek di Dun Salor. Sebelum ini Masjid Kubang Kerian di Dun Demit dijadikan sebagai PPV sementara.

“Keutamaan kita untuk selesaikan suntikan vaksin sebelum menghadapi musim banjir akhir tahun ini,” katanya selepas meninjau operasi PPV Parlimen Kubang Kerian di Sekolah Antarabangsa Wadi Sofia di Padang Bonggor hari ini.

Turut hadir Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar; Pegawai Khas Ahli Parlimen, Saizol Ismail dan Pengawa Daerah Sering Sabari Abdul Rashid.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut memuji sukarelawan yang bertugas sepanjang program tersebut diadakan bagi membantu kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan suntikan vaksin.

Beliau turut menghargai pengurusan Sekolah Antarabangsa Wadi Sofia kerana menyediakan fasiliti bagi memudahkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Secara umumnya proses ini berjalan lancar, tiada masalah dan kita ucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang banyak membantu menyediakan kemudahan pengangkutan untuk bawa mereka yang menerima vaksin di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -