
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Sikap segelintir pemimpin politik hari ini yang sering kali mencetuskan kemelut politik telah membawa persepsi buruk rakyat terhadap mereka, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Menurutnya, beliau berpendapat bahawa rakyat tidak lagi menganggap ahli politik sebagai satu kerjaya yang baik, malah dianggap sebagai satu kerjaya yang perlu dielakkan.
“Kita melihat sifat ahli politik (hari ini) sentiasa menimbulkan kemelut politik. Dalam kalangan rakyat kita sehingga ahli politik tidak menjadi contoh lagi kepada rakyat.
“Rakyat kalau tanya, nanti anak-anak tanya nak jadi apa? Jangan jadi ahli politik.
“Kerana (rakyat berfikir) kalau jadi ahli politik, akan menimbulkan suasana yang tidak mesra rakyat, tidak selesa kepada rakyat
“Baik jadi doktor, baik jadi peguam, baik jadi yang lain-lain, yang fokus untuk membangunkan negara.
“Tetapi untuk jadi ahli politik, buat masa sekarang ini, anak-anak dinasihatkan oleh ibu-bapa, jangan jadi ahli politik,” ujarnya dalam wawancara Bicara Harakah berjudul Kemelut Politik Bakal Berulang? semalam.
Kata Mohd Zai, hal ini kerana, politik yang dipertontonkan kepada rakyat oleh ahli-ahlinya tidak memberi satu gambaran yang baik kepada masyarakat dan masa depan negara.
Sedangkan, ahli politik yang bertanggungjawab akan berlapang dada, berjiwa besar dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding aturan politik.
“Prinsip ahli politik yang bertanggungjawab, mereka berlapang dada, berjiwa besar.
“Hal politik ini, dia letakkan ke tepi dahulu, soal nak rebut, siapa jadi PM (Perdana Menteri) kerajaan dan sebagainya.
“Mereka letak tepi dahulu kerana mereka mempunyai agenda yang lebih besar, bagaimana hendak selamatkan nyawa rakyat? Bagaimana hendak bawa rakyat keluar dari masalah yang sangat besar dalam negara kita?
“Bagaimana hendak pastikan rakyat hidup dengan lebih aman, lebih baik, lebih sejahtera pada masa akan datang.
“Kerana keadaan hari ini begitu teruk sekarang ini. Berapa ramai yang sudah hilang pekerjaan? Berapa ramai yang sudah bankrap? Berapa ramai tutup kedai?
“Berapa ramai peniaga-peniaga kecil hilang mata pencarian? Berapa ramai anak muda tiada pekerjaaan? Berapa ramai tidak makan? Berapa ramai yang memerlukan bantuan dan sebagainya?” soalnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021











