
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kesusahan yang dihadapi oleh sesetengah golongan rakyat ketika wabak Covid-19 melanda seluruh negara, sentiasa mendapat perhatian pemimpin PAS yang bersama ahli parti turun padang memberi bantuan.
Setiap hari, pasti ada aktiviti kebajikan dilaksanakan, termasuk oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen.
Hari ini, Adun Chenor di Pahang, Ustaz Mujibur Rahman Ishak (foto atas), menyampaikan kertas A4 kepada 13 buah sekolah anjuran Majlis Guru Besar Kelompok Chenor dengan setiap sekolah menerima tiga kotak serta dua kotak pelitup muka dan cenderahati secara pandu lalu.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lada, SK Kampung Jengka Batu 13, SK Bukit Bota, SK Sekara, SK Chenor, SK Pesagi, SK Kertau, SK Bukit Segumpal, SK Tanjung Perang, SK RKTP Kampung Awah, SK Sungai Nerek, SK LKTP Jengka 19 dan SK LKTP Jengka 18.

Di KEDAH, Adun Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood, menyampaikan sumbangan pek makanan secara pandu lalu kepada 40 penduduk di Kampung Empa, Derang.
Mangsa kebakaran di Kampung Charok Kemuning, Sik, pula mendapat perhatian Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Beliau diwakili oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Sik, Haji Yahya Wahab, yang dibantu staf pusat khidmat itu, Arif Ismail, menyampaikan sumbangan kepada mangsa, Suid Awang.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5 pagi semalam, ibu Suid, iaitu Meriam Mehat, meninggal dunia.

Di KELANTAN, Adun Salor, Haji Saiful Adli Abu Bakar, pula menziarahi dua keluarga penduduk di Kampung Pendek yang meninggal dunia, Allahyarham Rosli Mahmud, 61, pada 30 Julai dan Allahyarhamah Siti Fatimah Mohamed, 70, pada 19 Julai lalu.
Allahyarham Rosli menderita sakit prostat dan buah pinggang, manakala Siti Fatimah, mengalami angin ahmar selama 17 tahun. Pada kunjungan itu, Saiful Adli, mengucapkan takziah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga dua penduduk berkenaan.

Di PULAU PINANG, Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah, menyampaikan sumbangan makanan kepada 50 orang gelandangan di bawah bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Mohd Yusni berkata, tempat itu menjadi tumpuan gelandangan sejak beberapa tahun lalu.
“Selain itu, saya mahu mendapatkan status mereka bagi membolehkan tindakan susulan kepada pihak berkuasa kerana ada di kalangan mereka yang masih mempunyai anak kecil,” katanya.

Di SABAH, PAS Kawasan Tawau, membantu lima keluarga mangsa kebakaran di Kampung Batu 14, Jalan Apas.
Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tuan Mohamad Husain, bersama beberapa orang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tawau, turun padang untuk menyampaikan bantuan.
Beliau berkata, sumbangan itu adalah hasil infak ahli PAS Tawau yang bersimpati terhadap kesusahan yang dialami oleh mangsa kebakaran berkenaan. – HARAKAHDAILY 5/8/2021











