Pejuang rintis perpaduan asas kemerdekaan negara

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kemerdekaan yang dikecapi rakyat di negara ini sehingga sekarang adalah hasil kesungguhan pejuang tanah air dengan meletakkan perpaduan sebagai kerangka utama.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, pejuang kemerdekaan bersatu melawan penjajah sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan harta benda milik mereka.

- Advertisement -

Katanya penyatuan dan perpaduan itu seiring dengan panduan yang dibawa Islam sebagaimana terkandung dalam al-Quran.

“Sejarah Islam juga membuktikan pentingnya perpaduan. Nabi Muhamamd s.a.w mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar serta menyatukan pertembungan antara kaum Aus dan Khazraj di Madinah.

“Prinsip dan konsep perpaduan berdasarkan wahyu daripada Allah Taala. Inilah yang membezakan antara konsep perpaduan yang dibawa Islam berbanding agama lain,” katanya pada diskusi di laman media sosialnya malam tadi.

Program itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Perlis yang boleh diikuti secara atas talian.

Muhammad Azmir juga berkata, konsep perpaduan itulah yang membentuk Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019 untuk membawa agenda penyatuan ummah selepas berdepan pelbagai konflik pada era Pakatan Harapan.

Kata beliau ia bertujuan mensejahterakan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“MN membentuk kerjasama bagi melebarkan naratif Islam dan bangsa Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -