MAFI Prihatin hargai petugas barisan hadapan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR
TUMPAT: Seramai 23,480 penduduk mendapat manfaat program MAFI Prihatin sumbangan FAMA dalam tempoh 27 Mei hingga 13 Julai lepas.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, (MAFI) Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, program itu pada masa yang sama turut membantu 487 petani di seluruh negara.

Katanya, sumbangan berkenaan diberi kepada pelbagai pihak termasuk petugas barisan hadapan.

“Sumbangan daripada FAMA berupa hasil pertanian diusahakan petani di jajahan Tumpat.

“Terima kasih juga kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan di atas jasa dan pengorbanan yang diberikan,” katanya ketika ditemui selepas meraikan petugas barisan hadapan dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin di Sekolah Kebangsaan Bunohan semalam.

Seramai 67 petugas barisan hadapan menerima sumbangan MAFI Prihatin pada program tersebut.

Malah sumbangan serupa juga disampaikan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah Pasir Pekan.

Che Abdullah yang juga ahli parlimen Tumpat berkata, penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat di Kelantan dan negara ini. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -