Iktiraf UEC cetus kecelaruan identiti kebangsaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menolak sebarang pengiktirafan terhadap Unified Examination Certificate (UEC) sebagai sijil setaraf SPM dalam pengambilan guru-guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Ariff Abdullah berkata, penolakan itu atas asas untuk mengelakkan percanggahan kurikulum dan berlaku dwi-standard dalam sistem pendidikan negara.

Kata beliau sekiranya dibiarkan boleh membawa kepada kecelaruan identiti kebangsaan atas nama rakyat Malaysia.

“Pengiktirafan UEC sudah semestinya bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya di sini.

Semalam Lajnah Pendidikan PAS Pusat menolak pengiktirafan terhadap sijil UEC dan pelaksanaan kurikulum UEC hendaklah disemak pakar-pakar pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara komprehensif.

Pengerusi lajnah terbabit Dato’ Dr Mohd Fadzli Hassan turut mencadangkan Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan untuk menilai semula dasar pengiktirafan Sijil UEC.

Mohd Ariff berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian PAS Pusat mengenai isu terbabit.

Menurutnya UEC hanya memberikan manfaat kepada segelintir kaum Tionghua sahaja dan bukan kepada keseluruhan sekolah persendirian Cina di peringkat menengah.

“Lagi pula sistem pendidikan melalui kurikulum kebangsaan mewakili dan mengambil kira kepentingan pendidikan semua kaum atas nama kesepaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Kata beliau prinsip keluhuran perlembagaan melalui Dasar Pendidikan Negara menjadi asas dalam kelestarian sistem pendidikan yang berkualiti bertujuan memenuhi aspirasi negara.

“Prinsip yang diurus tadbir berpandukan Akta Pendidikan 1996 melalui kurikulum kebangsaan wajar diobjektifkan pengiktirafannya tanpa perlu penerimaan persijilan yang lain termasuk UEC,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -