
Oleh: SARINA ISMAIL
JERAI: Kerajaan tidak boleh disalahkan sepenuhnya dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini memandangkan wabak itu bukan hanya menular di Malaysia sahaja, bahkan seluruh dunia.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia ketika ini juga dilakukan oleh negara-negara lain.
“Bukan Malaysia sahaja kena tutup kedai, pejabat dan lain-lain,negara lain juga begitu.
“Di Malaysia sekarang kita benarkan buka kedai hingga 10 malam. Tapi di Thailand hanya setakat 8.00 malam sahaja.
“Jadi kalau nak kata kerajaan gagal disebabkan Covid-19 memang tidak tepatlah,” ujar beliau ketika dihubungi, semalam.
Katanya lagi, sebarang ketetapan dan perlaksanaan yang dibuat kerajaan adalah mengikut landasannya .
Oleh itu, beliau berpendapat bahawa tiada sebab untuk menolak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang ini, sedangkan usaha-usaha untuk menangani masalah rakyat dilakukan dengan baik.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin di atas peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen sebanyak RM300.000.
“Dengan peruntukan itu ia dapat digunakan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat PKP dan pandemik ini.
“Jadi tiada alasan untuk mengatakan kerajaan tidak mengambil berat di atas kesusahan rakyat di waktu ini,” katanya lagi.
Justeru itu, ujar Sabri, pihak pembangkang perlu faham, Parlimen yang akan bersidang sedikit masa lagi tujuannya membincangkan Ordinan Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini dan hal-hal berkaitan menangani pandemik Covid-19.
“Sekiranya ada pihak yang beranggapan Parlimen dibuka bersidang untuk menjatuhkan kerajaan , bagi saya itu silap besar.
“Jadi jangan ada pihak yang masih bermain politik sebaliknya fokuslah kepada permasalahan rakyat,” tegasnya.
Sekiranya masih ada mempertikaikan peranan kerajaan, baginya PN sudah melakukan yang terbaik termasuk masalah ekonomi dan kesihatan rakyat.
“Kalau ada yang masih sebut lagi berkenaan ada rakyat yang kebuluran, tak ada makanan, kena angkat bendera, saya rasa memang tak masuk akal lah.
“Kalau yang terlepas pandang tu mungkin ada, tetapi (kita ada) pusat-pusat bantuan seperti Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah.
“Orang ramai yang terputus bekalan boleh saja menghubungi pusat-pusat berkenaan, line internet di Jerai ini ok. Kebanyakan orang pun ada telefon bimbit,” jelasnya.
Di samping itu maklumnya, penghulu dan imam-imam masjid juga mengambil peranan membantu anak-anak kariah yang terkesan, sehinggakan apabila bantuan sampai ada di antara mereka sudah pun memperolehinya. – HARAKAHDAILY 16/7/2022











