
DALAM sejarah Malaysia moden, perpecahan dan perpaduan Melayu/Islam di negara ini pada dasarnya diukur dengan dua perkataan: Umno dan PAS. Dilihat dari sudut mana sekalipun, dua perkataan itulah yang menjadi kata kuncinya.
Sejak lebih tujuh dekad lalu kedua-dua parti inilah yang mendominasi Melayu/Islam di negara ini. Begitu kuat pengaruhnya sehingga kedua-duanya menjadi kunci kepada perpaduan dan perpecahan. Tidak penting siapa yang memegang mangga kuncinya dan siapa yang memegang anak kunci. Yang pasti kunci itu ada pada mereka.
Agak malang kerana untuk tempoh yang lama kunci itu kerap dibuka ke arah perpecahan. Hal ini barangkali berpunca daripada luka lama, yang parutnya tidak pernah sembuh dalam erti kata sebenar.
Sejujurnya saya berpendapat ia berpunca daripada marah Umno kerana tindakan sekumpulan ulama meninggalkan parti itu untuk menubuhkan PAS pada November 1951. Tiga bulan sebelum itu, Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar telah melepaskan jawatannya dan meninggalkan parti Melayu itu lalu menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
Tetapi Umno tidak marah pada beliau, mungkin sebab IMP tidak mendapat sambutan. Sebaliknya PAS cepat berkembang. Dalam masa yang singkat ia berjaya menarik sokongan orang Melayu/Islam dan dengan pantas juga menjadi saingan Umno. Jadi tidak hairanlah jika Umno marah dan tersinggung.
Marah itu, dicampur dengan persaingan merebut pengaruh menjadikan perseteruan antara kedua-duanya bagaikan tidak mempunyai titik. Koma, walaupun ada, amatlah sekali-sekala, itu pun dalam kes-kes di mana kedua-dua parti tersebut merasakan kepentingan Melayu/Islam tergugat.
Air dicincang tidak akan putus. Demikianlah dengan perseteruan antara saudara sebangsa dan seagama itu. Pada tahun 1972 Umno dan PAS mula mencari titik temu. Tragedi 13 Mei 1969 mengubah landskap politik Malaysia.
Ia bukan sahaja tentang pudarnya pengaruh Perikatan susulan keputusan PRU 1969, tetapi juga tentang goyahnya perpaduan di kalangan rakyat yang turut membawa bersamanya ancaman ke atas kepentingan Melayu/Islam.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengambil tindakan pantas untuk memulihkan perpaduan yang retak teruk itu. Langkah bijak yang diambil oleh almarhum adalah dengan mewujudkan kerajaan campuran antara Perikatan dengan parti-parti lain, mengikut negeri.
Ia bermula di Sarawak pada Julai 1970 apabila sekutu parti Perikatan iaitu Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti Bumiputera, Parti Pesaka Anak Sarawak dan Sarawak Chinese Association membentuk kerajaan campuran dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Menyusul selepas itu ialah pembentukan kerajaan campuran Perikatan – Gerakan di Pulau Pinang berkuatkuasa 17 Februari 1972 dan kerajaan campuran Perikatan – PPP (Parti Progresif Rakyat) di Perak pada 1 April tahun yang sama.
Pembentukan kerajaan-kerajaan campuran ini membawa kepada suasana politik yang lebih tenteram. Tetapi Tun Razak masih tidak berpuas hati kerana agenda besarnya adalah perpaduan Melayu/Islam. Dan beliau sedar agenda itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama, dokongan dan sokongan PAS.
Maka berjalanlah perundingan antara Perikatan dan PAS yang pada masa itu diterajui Almarhum Datuk Asri Haji Muda (kemudiannya Tan Sri) seorang nasionalis tegar yang mula bergiat di medan perjuangan sejak tahun 1930-an.
Hasil perundingan itu termeterailah satu peristiwa yang amat bersejarah dalam politik Melayu/Islam di negara ini apabila PAS bersetuju untuk bersama-sama membentuk satu gagasan baharu berasaskan konsep kerajaan campuran. Gagasan itu kemudiannya dinamakan Barisan Nasional, iaitu nama yang dicadangkan oleh PAS.
Menurut Dr Mohd Fadli Ghani, Pengarah Jabatan Arkib PAS seperti yang dilisan oleh Ustaz Hassan Shukri, bahawa lambang dacing yang digunakan oleh Barisan Nasional itu juga merupakan cadangan PAS, berasaskan lambang PAS Singapura. Cadangan itu kemudian diterima dan Ghafar Baba (kemudiannya Tun) merupakan orang pertama melakarnya.
Bagi umat Melayu/Islam di negara ini saat Umno dan PAS berkongsi bantal – dan sebenarnya berkongsi mimpi walaupun mungkin tidak secara total – itulah merupakan saat paling manis. Belum pernah dalam sejarah negara selepas merdeka perpaduan Melayu/Islam menjadi seerat itu.
Keakraban itu dengan sendirinya mengukuhkan kedudukan Melayu/Islam di negara ini. Kekukuhan yang mengundang rasa hormat rakan-rakan dari kaum dan agama lain, sekali gus membuka ruang kepada jalinan kerjasama yang lebih kukuh.
Malangnya jodoh Umno dan PAS tidak panjang. Kita abaikan sebab-musababnya. Apa yang terjadi selepas itu adalah perpecahan besar yang membawa kepada siri perpecahan lain. Yang untung tentulah bukan Umno dan bukan PAS, bukan juga Melayu dan Islam.
Pengadu domba yang sebelumnya telah kehilangan kata-kata kembali ke arena dengan agenda jahat mereka. Penggerak chauvinisme kembali bermaharajalela. Melayu dan Islam terus menjadi mangsa.
40 tahun kemudian umat Melayu/Islam di negara ini terpaksa membayar harganya. Sisa-sisa kekuatan mereka yang tidak disatukan itu roboh dilanda badai oleh satu gerakan besar yang dibayangi oleh dasar-dasar yang bersimpati pada pluralisme dan liberalisme, yang menjadikan perjuangan massa sebagai perisai yang melindungi niat sebenar mereka.
Musibah itu ada hikmahnya. Ia menyedarkan pemimpin-pemimpin Melayu/Islam tentang perlunya mereka untuk kembali duduk semeja. Maka bermulalah perbincangan demi perbincangan yang membawa kepada termetrainya piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.
Allah terus membukakan pintu ke arah perpaduan untuk umat Melayu/Islam di Malaysia apabila mentakdirkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH). Hari di mana tertubuhnya sebuah kerajaan baharu dengan dokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Umno, PAS dan beberapa parti sekutu lain menjadi satu lagi hari yang indah bukan sahaja bagi orang Melayu dan umat Islam, tetapi juga rakan-rakan dari bangsa serta agama lain yang 22 bulan sebelumnya menjadi mangsa kecelaruan politik PH.
Bagi umat Melayu/Islam, detik itu juga mengembalikan nostalgia pada penubuhan BN 47 tahun sebelumnya. Ia membuka peluang untuk mereka mengukuhkan pertautan sekali lagi. Dengan peluang dan kuasa yang ada, mereka kini boleh mencorakkan semula negara dengan berasaskan acuan Melayu/Islam tanpa mengorbankan hak dan kepentingan rakyat dari kaum dan agama lain.
Sejak saat awal penubuhannya kerajaan Melayu/Islam ini sentiasa menjadi sasaran kumpulan penentang, khususnya PH. Ia tidak perlu dipersoalkan kerana itu kerja mereka. Yang menjadi masalah apabila di kalangan umat Melayu/Islam yang mendokong kerajaan menari mengikut rentak pembangkang. Mereka yang sepatutnya bertindak sebagai pendinding bagi melindungi kerajaan Melayu/Islam ini memilih untuk menjadi duri dalam daging.
Kuasa dan dendam menjadikan mereka keliru sehingga tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan, antara menunggang dan ditunggang. Mereka alpa dibuai wasangka.
Persoalannya, tidak terfikirkah mereka bahawa jika kerajaan Melayu/Islam ini runtuh kita mungkin terpaksa menanti puluhan atau ratusan tahun lagi untuk berpeluang membentuknya semula. Itu pun jika masih ada peluang.
Bagaimana kalau ini merupakan peluang terakhir kita?
DATUK DR BUDIMAN MOHD ZOHDI
Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 12/7/2021















