
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
MACHANG: Hasrat dua beradik warga emas berusia lebih 100 tahun untuk menerima vaksin Covid-19 bersama akhirnya menjadi kenyataan.
Biarpun mereka tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera, namun Adun Pulai Chondong Ustaz Azhar Salleh membantu bagi membolehkan mereka disuntik vaksin.
Munah Yunus, 114 dan adiknya Pah Yunus, 111 dari Kampung Rengas, Labok menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tok Guru, Maahad Tahfiz al Quran Wal Qiraat hari ini.
Dua warga emas terbabit ditemani anak mereka, masing-masing menerima suntikan dos pertama dalam kenderaan masing-masing kerana keuzuran.
Anak Pah, Mohd Ramli Ismail, 63 berkata, emaknya tidak banyak berdolak-dalik malah terus menyatakan kesanggupan menerima suntikan selepas dibantu Adun Pulai Chondong.
“Kami tidak daftar emak mengambil kira keuzuran serta penyakit tua lain seperti darah tinggi yang dialaminya. Sebaliknya Ustaz Azhar membantu membolehkan kedua beradik itu menerima vaksin.
“Saya beritahu emak hendak pergi dapatkan suntikan vaksin, dia tidak banyak cakap terus pergi mandi sebab kakaknya, Munah pun pergi sekali dalam dua kereta berasingan untuk dapat suntikan.
“Baru-baru ini Ustaz Azhar datang ke rumah memberitahu kedua-dua beradik boleh datang untuk menerima vaksin bersama,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut.
Sementara itu, Azhar berkata, PPV itu beroperasi dua hari sehingga esok bakal memberi suntikan kepada 640 individu yang terdiri daripada penduduk di kawasan banjir, warga emas termasuk iman dan petugas masjid.
Beliau juga berkata, sejak Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) dilaksanakan ada penduduk di Machang enggan mendaftar pada peringkat awalnya kerana takut.
Namun katanya selepas diberi penerangan serta situasi yang berlaku kebelakangan ini, sambutan orang ramai terhadap program itu semakin baik.
“Kira-kira 25 peratus dari penduduk di Machang sudah menerima vaksin termasuk dos pertama dan kedua. Hari ini seramai 320 penduduk menerima vaksin dan esok pula 320 orang.
“Saya berharap lebih ramai penduduk yang berdaftar untuk menerima suntikan. Hari ini cukup bersejarah apabila nenek usia lebih 100 tahun pun berani menerima vaksin,” katanya.
Jelas beliau Pusat Khidmat Masyarakat Dun Pulai Chondong sentiasa mendukung hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.
Malah kata Azhar pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah bagi memastikan hasrat tersebut tercapai seterusnya dapat memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikurangkan. – HARAKAHDAILY 12/7/2021











