PKP 3.0: Pusat Khidmat belanja lebih RM800,000

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi total lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu menyebabkan ramai rakyat terkesan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Al-Idrus berkata, jumlah yang dibelanjakan bawah Parlimen Kuala Terengganu ini lebih RM800,000 keseluruhannya.

Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memperuntukan sebanyak RM329,265 sepanjang tempoh PKP 3.0 dilaksanakan.

“Peruntukan ini mencakupi seluruh keperluan asas yang diperlukan oleh isi rumah yang terkesan, antaranya agihan barangan keperluan asas berjumlah RM164,650.

“Agihan roti paung Terengganu, RM3,000. Agihan ayam mentah segar (RM30,000), agihan roti canai (RM10,000), agihan nasi goreng (RM24,000) dan banyak lagi,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Sehubungan itu, Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Tetengganu juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu.

Katanya, melalui Projek Bakul Makanan bagi Kawasan Kuala Terengganu sahaja telah diperuntukan sebanyak RM501,800 yang memberi manfaat kepada lebih 5,048 keluarga.

“Jadi, jumlah yang telah diperuntukan untuk rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan KPK 3.0 ini adalah sebanyak RM831,065 keseluruhannya,” jelas beliau.

Sementara itu, kata Syed Ali lagi inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim adalah kempen ‘Beli Lebih, Beri Jiran’.

Katanya, tujuan kempen itu adalah bagi memupuk sikap ambil berat dan ambil peduli terhadap jiran-jiran di sekeliling.

“Contohnya, jika kita biasa beli nasi tiga bungkus, beli lebih sebungkus dan berikan kepada jiran.

“Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu yakin dan percaya, rakyat di Kuala Terengganu sedang berusaha untuk kelangsungan hidup mereka dan kami di Parlimen Kuala Terengganu turut sama merasakannya,” ujar Syed Ali.

Menurutnya, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu akan berusaha semaksima mungkin bagi menjaga kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -