
Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH: PAS Melaka memberikan tumpuan untuk membantu rakyat di sebalik kemelut politik negara yang tidak berkesudahan, kata Ketua Penerangannya, Bakri Jamaluddin.
Katanya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik merebut kuasa, tetapi untuk menyelesaikan keluhan rakyat dan menjadikan usaha membantu mereka yang memerlukan sebagai keutamaan.
“Alhamdulillah dalam kemelut politik yang tidak menentu, PAS Melaka terus memberikan tumpuan dalam membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat kesan daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun dengan dana terhad yang bersumber daripada sumbangan ahli PAS dan orang ramai, kesungguhan jentera PAS melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) dapat dilihat lincah turun padang di semua kawasan iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota, Hang Tuah Jaya, Alor Gajah dan Jasin,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu menambah, bukan setakat itu, malah PAS juga berkolaborasi dengan beberapa NGO seperti UMMAH, Darul Ansar, Ikatan Ukhwan dan beberapa lagi NGO untuk turut bersama menggembleng tenaga membantu mereka yang memerlukan.
“Sayap-sayap PAS seperti Jabatan Amal Malaysia, Ameerah, Dewan Muslimat dan Pemuda serta Khidmat Malaysia turut berpadu tenaga turun padang,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2021











