Lengkap dos vaksin pun perlu patuhi SOP

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Walaupun Malaysia merekodkan pemberian melebihi 10 juta dos vaksin dengan jumlah pemberian harian tertinggi 375,842 dos semalam, namun pematuhan SOP tetap perlu dilakukan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dilaksanakan pada 24 Februari lalu, semalam rekod tertinggi pemberian vaksin.

Malah dalam masa sama, beliau meminta orang ramai agar mematuhi arahan kerajaan melalui dan terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

- Advertisement -

“Lalu yang kita beriman berdoa, berkat doa inilah Allah akan tarik semula musibah ini, insyaAllah dan jangan sombong dengan vaksin, jangan sombong dengan SOP, semua ini yang paling penting ialah doa.

“Umat Islam diminta terus berdoa walaupun sebelum ini saya pernah dikecam di media sosial ekoran cadangan untuk berdoa berbanding mengangkat bendera putih bagi mendapat bantuan.

“Usaha itu merupakan cara yang paling ampuh untuk mendapat keberkatan Tuhan, ketika orang ramai di Malaysia terus ditimpa musibah dan kesusahan ketika pandemik Covid-19.

“Semakin ramai berdoa, semakin Allah melihat umat Islam di Malaysia semakin kepada kepada Allah, Allah suka melihat perbuatan hambaNya menepati kehendak Dia, bila Dia suka, Dia balas makbulkan doa kita,” katanya pada tazkirah Dhuha di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan yang disiarkan secara langsung di Kelantan TV hari ini.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, doa bukan sahaja perlu bermain di bibir umat Islam setiap saat, malah mengangkat dua tangan memohon keberkatan dan keredhaan dari langit.

Katanya, ketika tangan tidak diangkat serta bibir yang tidak dibasahi dengan kalimah bagi mendekatkan diri kepada Allah akan timbul perasaan keluh kesah melihat orang susah atau miskin meminta bantuan ketika penularan pandemik Covid-19 sekarang.

“Vaksin sudah, yang hendak berdoa itu berdoa dah, inilah yang menarik keredhaan Allah kepada kita semua, kalau tidak, kita akan hidup dalam keluh kesah, tengok orang susah dan miskin, serabut, bila serabut mula nak salahkan orang lain.

“Akhirnya orang lain disalahkan, mana kerajaan.. mana orang kaya.. penghulu mana.. wakil rakyat mana.. dengan usaha dilakukan sudah kita rasa hebat diri, sambil menyalahkan orang lain, inilah tabiat yang Allah tidak suka,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -