Exco Kesihatan nafi HSAH ditutup, PKPD

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Maklumat yang ditular kononnya Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani ditutup adalah tidak benar.

Demikian maklum Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dalam satu kenyataannya semalam.

Menurutnya, hanya beberapa wad sahaja ditutup untuk tujuan sanitasi dan tidak melibatkan semua bahagian.

“HSAH tidak ditutup dan tiada Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) dilaksanakan di situ.

“Penutupan itu hanya melibatkan beberapa bahagian dan wad untuk tujuan sanitasi, perkhidmatan kecemasan beroperasi seperti biasa,” maklum beliau.

Hal berkenaan berikutan beberapa kakitangan hospital terbabit termasuk doktor dan jururawat disahkan positif Covid-19.

Berikutan itu, terdapat maklumat palsu yang disebar mengatakan hospital terbabit ditutup dan dikenakan PKPD atas arahan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Menurut maklumat itu lagi, HSAH diarahkan mengambil kes-kes kecemasan tertentu dan menyusun semua jadual temujanji pesakit.

Berikutan itu, Adun Tokai itu menasihatkan orang ramai jangan mempercayai maklumat palsu berkenaan sebaliknya merujuk JKN sekiranya terdapat sebarang kekeliruan.

Sehubungan itu jelas beliau, jadual temu janji disusun semula di klinik pesakit luar dan pakar sementara rawatan perkhidmatan kecemasan berjalan seperti biasa sebagaimana yang dimaklumkan oleh Pengarah HSAB.

“Oleh itu nasihat saya agar orang ramai tidak resah dengan kejadian ini. Teruskan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jangan keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -