Anggota polis kumpul dana bantu penduduk miskin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kelantan mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk miskin di Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sumbangan itu dikumpulkan pegawai dan anggota JSPT.

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan bagi mengubah tanggapan masyarakat terhadap bidang tugas JSPT, bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah jalan raya.

- Advertisement -

“Kalau selama ini kita lihat polis trafik bertugas di jalan raya, mengawal lalu lintas serta mengenakan tindakan, bukan untuk membebankan pengguna tetapi mendidik supaya patuh peraturan.

“Kalau tidak ikut peraturan jika berlaku kemalangan, risiko kecederaan amat besar, jadi dengan naluri kemanusiaan kita agihkan bantuan kepada keluarga memerlukan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada armalah Suriana Zakaria di rumahnya di Kampung Mentuan.

Turut hadir Ketua JSPT Negeri Kelantan, Superintenden Suhaimi Jusoh.
Tujuh keluarga di Kampung Mentuan, Kampung Seneng dan Budi menerima bakul makanan.

Abdullah juga berkata, program itu dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan secara berperingkat-peringkat di seluruh Kelantan.

Menurutnya juga aktiviti itu berbeza dengan Ops Bantu yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia mengagihkan makanan kepada keluarga memerlukan.

Katanya, Ops Bantuan mengagihkan secara berperingkat-peringkat iaitu sebanyak 3,000 bantuan dalam bentuk bakul makanan melibatkan kira-kira 300 bagi setiap daerah di Kelantan.

“Sumbangan ini merupakan inisiatif JSPT, mengikut kemampuan anggota dan pegawai di jabatan berkenaan, namun Ops Bantu KDN diuruskan ketua balai masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -