Tuntut Kit Siang mohon maaf, bukan ‘delete post’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menggesa pimpinan DAP, khususnya Lim Kit Siang memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran beliau menghina kerajaan Allah.

- Advertisement -

Menurut Pemangku Ketuanya, Ustaz Nushi Mahfoz, walaupun difahami Veteran DAP itu mungkin terkeliru perbezaan antara kerajaan Allah dan Kerajaan Islam, sepatutnya sebagai individu berpengaruh, Kit Siang sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum memberi komen.

“Bukannya terus mengkritik tanpa semak fakta, cross check kenyataan asal serta menghiraukan sensitiviti umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, DUPNS dalam masa sama juga tidak mengenepikan hakikat bahawa Kit Siang bukanlah begitu bodoh sehingga tidak boleh membezakan Kerajaan Allah dan Kerajaan Islam.

“Sekiranya Kit Siang sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian, ini adalah satu penghinaan kepada umat Islam yang menjadi majoriti di negara ini.

“Adakah DAP begitu selesa hari ini sehingga berani keluarkan kenyataan sedemikian tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat Malaysia?

“Adakah kita terlalu berlembut dengan DAP hari ini sehingga mereka secara jelas menunjukkan sisi mereka yang benci dengan Islam?” soalnya bertalu-talu.

Justeru itu, DUPNS mengganggap ia adalah satu tindakan biadap yang tidak sewajarnya mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak sekalipun.

“DUPNS sekali lagi menuntut Kit Siang mengakui kesalahannya, dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam, bukan delete post berkaitan.

“DUPNS juga menggesa pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan lanjut di atas kata-kata Kit Siang itu memandangkan laporan polis telah pun dibuat oleh pelbagai pihak berikutan isu tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Penasihat DAP itu sehingga ke hari ini masih belum mengeluarkan sebarang permohonan maaf setelah terlanjur mengkritik kerajaan Allah di laman Facebook beliau.

Beliau dalam satu hantaran mempersoalkan sekiranya kerajaan Allah adalah kerajaan terbaik mendepani pandemik Covid-19, mengapa prestasi keseimbangan indeks ekonomi global atau global economist index normalcy yang ditulis The Economist, berada jauh daripada kedudukan beberapa buah negara yang tidak mendakwa mereka sebagai Kerajaan Allah.

Sementara itu, tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjudul Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking memuji, hanya kerajaan Allah adalah kerajaan yang sempurna serta boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -