Polis siasat ahli parlimen pembangkang langgar SOP

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kedah dan beberapa individu bersamanya disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir, pihaknya menerima aduan kira-kira jam 11.36 malam pada 3 Julai berkenaan isu terbabit.

- Advertisement -

“Hasil siasatan awal mendapati beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman sosial Nurul Amin Hamid memaparkan seorang Ahli Parlimen di Kedah terlibat dalam satu program bantuan dan tidak mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya kes tersebut akan disiasat di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 di atas kesalahan berkumpul di tempat awam.

Selain itu katanya lagi, Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan sosial.

“Sebarang maklumat boleh disalur kepada Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Muhammad IIhan Icha Luther di talian 019-2883428,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu yang sebelum ini lantang mengkritik pemimpin lain yang tidak mematuhi SOP.

“Sebagai orang yang ‘deraih’ memukul mana-mana pemimpin lain yang melanggar SOP, tindakannya itu ibarat meludah ke muka sendirilah,” kata beliau di laman sosialnya.

Nurul Amin turut memuat naik gambar pemimpin parti pembangkang terbabit di sebuah majlis penyampaian bantuan beramai-ramai, selain makan bersama-sama yang menyalahi SOP PKP 3.0. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -