
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan skim beras al It’am dimanipulasi individu tertentu dengan mengarahnya mengibarkan baju putih.
Penghulu Mukim Chicha, Faridul Anam Mat berkata, perbuatan tersebut tidak sewajar dilakukan semata-mata pihak mahu meraih sokongan serta simpati masyarakat melalui kaedah terbabit.
Menurutnya, kejadian tersebut tular di laman media sosial, walaupun bantuan yang dihulurkan kepada keluarga yang membabitkan 13 beranak itu sejak setahun lalu.
“Saya dimaklumkan ada individu menyuruh keluarga terbabit berbuat demikian, meletak bendera putih walaupun hanya dilakukan dengan sehelai baju putih di beranda rumahnya.
“Keluarga itu merupakan penerima bantuan kerajaan seperti JKM dan bantuan secara bulanan iaitu beras al It’am sejak tiga tahun lalu,” katanya di sini.
Faridul Anam juga berkata beliau memahami ada penduduk di Mukim Chicha yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan Covid-19.
Malah kata beliau, sejak PKP tahun lepas lebih lima kali bantuan makanan keperluan asas dihulurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Demit kepada pennduduk yang terjejas.
Jelas beliau, kerajaan sangat prihatin terhadap penduduk yang terkesan dengan pelaksanaan PKP dengan menghulur pelbagai bantuan sama ada oleh wakil rakyat, badan bukan kerajaan dan sebagainya.
“Semua keluarga yang terjejas dengan PKP sentiasa dalam pemantauan kami dan saya mengenali keluarga terbabit, kalau hendak bagi tahu tidak makan tiga empat hari tu mengarut.
“Cuma keluarga terbabit memang miskin tetapi kesusahannya seperti orang lain juga, lebih-lebih lagi musim PKP sekarang lebih ramai susah sebab tidak boleh bekerja,” katanya.
Sebelum ini tular sebuah keluarga dikatakan menggantung baju putih di depan rumahnya kerana mendakwa terputus bekalan makanan. Perbuatan itu dilakukan selepas disaran seorang rakan mereka bagi meraih perhatian masyarakat. – HARAKAHDAILY 4/7/2021











