
TUMPAT: Walaupun Kelantan antara lima negeri yang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun ia bukan tiket untuk mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peralihan daripada fasa satu kepada dua PPN hanya permulaan untuk fasa-fasa seterusnya sehingga ia benar-benar bebas daripada wabak Covid-19.
“Dalam konteks ini, kita jangan leka dan mudah selesa dengan peralihan fasa kedua ini kerana pengabaian SOP akan menyebabkan kes harian boleh meningkat semula di negeri ini.
“Kita mesti bersama-sama mematuhi SOP bagi memastikan kes harian Covid 19 terus menurun ke tahap paling rendah supaya kita dapat melangkah ke fasa ketiga PPN.
“Andainya kita gagal, tidak mustahil ia kita akan berpatah balik pada fasa pertama semula,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada seorang balu dua anak, Iqromah Anuar, 50, yang rumahnya dipecah masuk pencuri di Kampung Kutan Tengah di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdullah Mohammad Piah.
Bagi melangkah pada fasa ke seterusnya Ahmad berkata, kerajaan akan meningkatkan pemberian vaksin kepada rakya negeri itu bagi memastikan pencapaian imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.
Malah katanya, seramai 2,000 penduduk di Kampung Kutan yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera akan terbabit dalam pemberian vaksin menerusi program outreach.
Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa berkenaan di atas kejadian yang berlaku terhadap keluarga mangsa, namun bersyukur kerana keluarga berkenaan selamat. – HARAKAHDAILY 7/4/2021











