Pencuri baling televisyen ke arah tuan rumah

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT: Seorang armalah berusia 50 tahun menceritakan detik-detik cemas ketika dibaling dengan televisyen oleh pencuri yang menyelinap masuk ke dalam rumahnya semalam.

Iqromah Anuar berkata, beliau bersyukur kerana sempat mengelak sebaik sahaja ternampak pencuri berkenaan seperti menjadikan dirinya sebagai sasaran balingan menggunakan televisyen tersebut.

- Advertisement -

Mangsa kejadian pecah rumah di Kampung Kutan Tengah itu memberitahu kejadian beraku kira-kira pukul 2.25 pagi ketika pulang ke rumah setelah keluar menghantar kuih ke kedai kopi berhampiran.

Beliau yang berasal dari Surabaya, Indonesia berkata, sebaik tiba di rumah, dia terdengar bunyi dari dalam rumah yang pada mulanya disangkakan kucing, sebelum masuk ke rumah dan memasang suis lampu.

“Sebaik lampu terpasang, seorang lelaki meluru keluar dari bilik tidur saya dengan memikul sebuah televisyen menyebabkan saya terus menjerit meminta tolong kerana terkejut.

“Pencuri itu kemudiannya membaling televisyen yang dipikulnya itu ke arah saya namun sempat mengelak sebelum dia terus keluar melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Kutan Tengah di sini, hari ini.

Iqramah yang menetap di rumah itu bersama dua anak perempuannya yang berusia 17 dan 20 tahun berkata, ketika kejadian itu, kedua-dua anaknya itu tidur di rumah kakak iparnya tidak jauh dari situ.

Dia yang masih trauma berkata, pencuri melarikan dua unit telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,080 hasil jualan kuihnya serta sumbangan zakat daripada orang ramai.

“Wang itu saya simpan di bawah bantal untuk kegunaan membeli bahan mentah jualan kuih serta membayar sewa rumah sebanyak RM300,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana selamat daripada menjadi mangsa lelaki terbabit.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob serta Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah turut melawat rumah mangsa berkenaan.

Kunjungan itu sempena Program Prihatin Masyarakat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana keluarga itu selamat daripada menjadi mangsa pada kejadian tersebut. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa terbabit.

Abdullah pula berkata, kunjungan yang dibuat atas dasar kebajikan sosial dalam masa yang sama mengenal pasti golongan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

“PDRM mengarahkan semua ketua polis daerah serta ketua polis balai mengenal pasti golongan tersebut bagi memudahkan mereka untuk membuat permohonan kepada pihak berkaitan.

“Hari ini kami dari Kontinjen Kelantan menziarah lima rumah di sekitar Wakaf Bharu sambil memberi sumbangan peribadi dan bertanya khabar,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -