
TAHNIAH kawan-kawan! Sekali lagi rintihan kita semua didengar oleh pihak kerajaan. Saya berasa gembira dan lega apabila TNB melalui pakej PEMULIH telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 40 peratus bermula 1 Julai hingga 30 September 2021 bagi penggunaan elektrik di rumah kita. Pengiraan diskaun ini adalah berdasarkan kepada penggunaan elektrik bulan tersebut di kediaman atau premis perniagaan kita.
Bagi kategori Perindustrian, Pertanian Spesifik, Komersial (Perdagangan) oleh pengguna PKS pula mereka akan menerima diskaun sebanyak 5 peratus manakala kategori Komersial (Perdagangan) oleh 6 sektor perniagaan terpilih akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.
Enam Sektor tersebut akan dikenalpasti oleh pihak kerajaan melibatkan Pengendali Hotel, Taman Tema, Pusat Konvensyen, Pusat Membeli Belah, Pejabat Syarikat Penerbangan Tempatan, dan Agensi Pelancongan.
Diskaun ini akan membantu kira-kira 7.4 juta pengguna domestik seperti kita yang akan menikmati potongan antara lima hingga 40 peratus, sementara 1.6 juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori voltan rendah. Saya percaya diskaun ini sedikit sebanyak akan memberikan kelegaan kepada ketua keluarga yang semakin runsing dengan jumlah bil elektrik yang meningkat mendadak semenjak PKP 3.0 dilaksanakan.
Pemuda PAS dan Pemuda PN telah beberapa kali berusaha menyampaikan hasrat kita semua kepada pihak kerajaan dan TNB khususnya agar diskaun ini dapat diberikan bagi meringankan tanggungan setiap bulan terutamanya semasa kita semua berada di rumah. Alhamdulillah, suara kami sentiasa diberikan pertimbangan oleh kerajaan dan juga syarikat berkaitan kerajaan.
Jutaan terima kasih daripada kami rakyat Malaysia kepada pihak pengurusan TNB, Pengerusi TNB, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di atas keprihatinan kepada rakyat.
“Together We Brighten Lives Through Innovative and Sustainable Solutions Towards a Better World”
“Menang Bersama”
YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 2/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4472253982818960/












