Op Patuh: Imigresen serbu kilang tidak patuh SOP PKP

- Advertisement -

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah kilang pelupusan besi di Meru, Klang, Selangor dan berjaya menahan seramai 229 orang warga asing yang sedang bekerja di kilang tersebut. Operasi dijalankan pada jam 11:00 30 Jun 2021 dengan kekuatan seramai 90 orang pegawai Imigresen dengan dibantu oleh seramai 35 orang pegawai penguatkuasa dari PDRM, JTK, APM dan JPN.

Operasi ini merupakan salah satu siri Op Patuh yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi lain yang berkaitan. Selain dari pemeriksaan pematuhan SOP PKP, JIM turut memeriksa semua pekerja asing yang didapati bekerja di kilang ini.

- Advertisement -

Pemeriksaan di lokasi mendapati bukan sahaja kilang ini melanggar dan tidak patuh SOP PKP, malahan kilang ini juga turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai 229 orang lelaki warga asing yang terdiri daripada 99 orang warga India, 88 orang warga Bangladesh, 33 orang warga Pakistan, Lima warga Myanmar, Tiga warga Indonesia dan seorang warga Nepal. Kesemua tahanan berumur antara 22 tahun hingga 45 tahun.

Selain pemeriksaan ke atas dokumen dan Pas Pekerja Asing, aspek pematuhan SOP PKP lain turut diperiksa oleh agensi lain yang terlibat dalam operasi ini. Kilang tersebut turut di kenakan tindakan kompaun oleh PDRM sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP PKP dan oleh JTK sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi SOP PKP bagi pengurusan tempat kerja.

Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang timbunan besi. Walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya digagalkan oleh pegawai operasi. Antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.

Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Ketua Pengarah 
Jabatan Imigresen Malaysia – HARAKAHDAILY 1/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/138683329531464/posts/4338882012844887/

- Advertisement -