Perlis wajar diberi kelonggaran PKP 3.0

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Perlis wajar diberi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memandangkan kes harian Covid-19 dicatat hanya satu digit sejak beberapa minggu lepas.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, permohonan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man supaya negeri itu diberikan status fasa tiga PKP wajar dipertimbangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

- Advertisement -

“Negeri Perlis seharusnya diberi kelonggaran memandangkan kes harian yang dicatatkan hanya satu angka sejak beberapa minggu yang lalu.

“Kami yakin dengan sikap dan disiplin tinggi dalam kalangan rakyat mampu mengubah status negeri ini menjadi zon hijau.

“Dewan Pemuda PAS juga menyeru rakyat Perlis untuk terus mematuhi SOP serta mendaftarkan diri untuk menerima vaksin Covid-19,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Semalam Menteri Besar memberitahu Kerajaan Perlis mencadangkan supaya negeri itu diberi status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Menteri Azlan cadangan itu ditolak. Namun berdasar laporan media beberapa negeri yang mencatat kes rendah termasuk Perlis, Terengganu dan Kelantan dicadang dilonggar SOP.

Muhammad Azmir juga berkata, pihak MKN difahamkan akan meneliti pemberian kelonggaran SOP kepada negeri-negeri yang mencatatkan kes Covid-19 yang rendah.

“Kami menzahirkan rasa syukur kerana negeri ini mencatatkan kes yang rendah berbanding negeri lain, bahkan sudah lebih seminggu mencatatkan bilangan kes satu digit sahaja.

“Situasi sedemikian membuktikan bahawa rakyat Perlis sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau buat masa sekarang rakyat Perlis masih perlu mengharungi PKP seperti negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -