
KUALA LUMPUR: Secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.
Beliau berkata, kes bunuh diri yang dicatatkan pada 2019 sebanyak 609 kes manakala pada 2020 sebanyak 631 kes.
Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula berjumlah 468 kes.
Menurutnya, sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021, seramai 281 orang lelaki dan 1,427 orang wanita telah dilaporkan membunuh diri.
Katanya, kebanyakan mangsa yang terlibat adalah berumur 15 hingga 18 tahun iaitu berjumlah 872 orang dan mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.
Beliau berkata, Johor telah mencatatkan kes tertinggi pada 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes. manakala pada 2021 (Januari hingga Mei) pula, Selangor telah mencatatkan kes tertinggi iaitu 117 kes.
“Siasatan turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri ini, iaitu mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan,” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, cara membunuh diri yang kerap berlaku berdasarkan statistik adalah gantung diri (75.1 peratus), terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun (5.7 peratus).
“Berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat.
“Polis Diraja Malaysia menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan seperti yang dinyatakan di atas supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan juga pihak-pihak yang menyediakan khidmat nasihat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021











