
BERIKUT adalah Rangkuman TERKINI Mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 19 Jun hingga pukul 8:30mlm 25 Jun 2021.
Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 722 ribu. Di peringkat global, lebih 180 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.9 juta. Lebih 165 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.
KUALA LUMPUR: Hampir sebulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan, kes harian baharu masih belum dapat dikurangkan di bawah 4 ribu untuk membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke fasa dua.
Hari ini (Jumaat 25 Jun 2021) , sebanyak 5,812 lagi kes harian baharu dilaporkan sementara kes kumulatif COVID-19 negara yang melepas paras 700 ribu pada 21 Jun 2021, meningkat kepada 722,659 kes.
Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 bagaimanapun berkurangan sedikit kepada 60,117 berbanding 61,162 kes pada 24 Jun 2021.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini dipetik berkata “purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4 ribu kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).”
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PPN yang terbahagi kepada empat fasa pada 16 Jun lepas berharap ia dapat mengembalikan kehidupan harian biasa.
SPP pula yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021, disambung dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.
Sementara itu, kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja melibatkan kilang dan tapak binaan yang masih dikesan dan mencetuskan kes baharu dibimbangi boleh menggugat usaha mengawal penularan wabak COVid-19 di negara ini.
Setakat 25 Jun 2021, negara menanggung beban sebanyak 873 kluster yang masih aktif. Secara keseluruhannya sebanyak 2,741 kluster direkod dan 1,868 daripadanya, dilaporkan tamat.
Rangkuman Mingguan Bernama 19 Jun hingga 25 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) berdasarkan data KKM merekod sebanyak 161 kluster baharu dan 103 atau 64 peratus daripadanya adalah kluster tempat kerja.
Hari ini (25 Jun), 18 daripada 21 kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster tempat kerja. Semalam (24 Jun), sebanyak 30 kluster baharu dilaporkan dan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja!
Antara kluster tempat kerja yang dilaporkan hari ini adalah Kluster Industri SS Lapan Dua (daerah Petaling, Selangor) dengan 115 kes positif COVID-19 setakat ini.
Semalam (24 Jun), antara kluster tempat kerja yang dikesan adalah kluster Industri Jalan Seruling 57 (daerah Klang, Selangor). Kluster ini hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan 101 kes positif daripada 319 individu yang disaring.
Pada 20 Jun, KKM melaporkan kluster tempat kerja, Tapak Bina Persiaran Hamidiah (daerah Hulu Langat, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak binaan di Persiaran Hamidiah. Kajang, Hulu Langat. Sebanyak 244 kes dikesan positif daripada 332 individu yang disaring.
Pada 19 Jun, antara kluster tempat kerja yang mencatat kes positif tinggi ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana (daerah Petaling, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak pembinaan di Pusat Perdagangan Dana 1, Petaling Jaya. Seramai 324 kes dikesan positif COVID-19 setakat 19 Jun 2021, daripada 482 individu yang disaring.
Sepanjang Rangkuman Mingguan ini juga, hanya dua hari Malaysia merekod kes bawah 5 ribu iaitu pada Isnin 21 Jun (4,611 kes) dan Selasa 22 Jun (4,743 kes). Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan empat ribu adalah pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.
Paling tinggi kes harian baharu dilaporkan di Malaysia adalah pada 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 9,020 kes, iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.
Jumlah kes COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 870 kes dan 433 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dengan 722,659 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 36 (rangkuman mingguan lepas tangga 38) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Jordan (748,685 kes) dan Jepun (789,440 kes).
Perkembangan lain dalam negara
Berdasarkan perincian KKM untuk 5,812 kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 25 Jun 2021, Selangor terus mencatat kes empat angka dan menyumbang kes terbanyak iaitu 2,187 kes.
Berikutan peningkatan kes di Selangor terutamanya pesakit kategori tiga dan ke atas, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk menukar status Hospital Ampang daripada Hybrid Covid-19 kepada hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya (Hospital Full Covid-19) berkuat kuasa semalam (23 Jun).
Di samping Hospital Ampang, sebuah lagi hospital yang beroperasi sebagai Hospital Full Covid-19 di Selangor ialah Hospital Sungai Buloh.
Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu COVID-19 di Selangor adalah seperti berikut:-
19 Jun (2,111 kes), 20 Jun (1,680 kes), 21 Jun (1,346 kes), 22 Jun (1,566 kes), 23 Jun ( 2,001 kes), 24 Jun (2,072 kes) dan 25 Jun (2,187 kes).
Negeri yang mencatat kes harian baharu tiga angka – WP Kuala Lumpur 771, Sarawak 673 kes, Negeri Sembilan 658 kes, Pulau Pinang 270 kes, Melaka 223 kes, Johor 196 kes, Kedah 186 kes, Sabah 156 kes, Pahang 139 kes dan WP Labuan 123 kes.
Kes harian baharu dua angka – Kelantan 98, Perak 72, Terengganu 46 dan WP Putrajaya 14.
Kes sifar harian baharu – Perlis.
Untuk kes kematian, sebanyak 82 lagi kes dilaporkan pada Jumaat 25 Jun 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 4,803 (0.66 peratus).
Selangor terus mencatat kes kematian tertinggi sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, seperti berikut:-
19 Jun (23 kes), 20 Jun (20 kes), 21 Jun (24 kes), 22 Jun (32 kes), 23 Jun (35 kes), 24 Jun (32 kes) dan 25 Jun (31 kes).
Mengenai perkembangan terkini penularan varian baharu virus SARS-CoV-2, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan, antara 20 Jun 2021 dan 22 Jun 2021, sebanyak enam (6) kes dikesan dan kesemuanya adalah VOC (Variant of Concern), iaitu Lima (5) kes varian Beta (B.1.351) dan satu (1) kes varian Delta (B.1.617.2).
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI (Variant of Interest) adalah sebanyak 189 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI.
Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 25 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 25 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 0.96. Untuk rekod, Ro di bawah 1.0 ini secara konsistennya dicatat sejak 6 Jun 2021.
Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi adalah Negeri Sembilan 1.04, Melaka 0.99 dan Sarawak 0.99.
R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.
Senario wabak Covid-19 di Malaysia (19 Jun -24 Jun 2021)
Rekod kes sembuh:-
19 Jun (6,918 kes), 20 Jun ( 5,941 kes), 21 Jun (5,439 kes), 22 Jun (5,557 kes), 23 Jun (6,372 kes), 24 Jun (5,411 kes) dan 25 Jun (6,775 kes).
Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:-
19 Jun – Kes baharu : 5,911 kes (691,115 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,910 kes [4,444 warganegara (75.2%); 1,466 bukan warganegara (24.8%)]; Kes import : 1 kes (1 warganegara);
20 Jun – Kes baharu : 5,293 kes (696,408 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,286 kes [3,894 warganegara (73.7%); 1,392 bukan warganegara (26.3%)]; Kes import : 7 kes (3 warganegara, 4 bukan warganegara);
21 Jun – Kes baharu : 4,611 kes (701,019 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,603 kes [3,683 warganegara (80.0%); 920 bukan warganegara (20.0%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);
22 Jun – Kes baharu : 4,743 kes (705,762 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,741 kes [3,843 warganegara (81.1%); 898 bukan warganegara (18.9%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara, 1 bukan warganegara);
23 Jun – Kes baharu : 5,244 kes (711,006 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,237 kes [4,291 warganegara (81.9%); 946 bukan warganegara (18.1%)]; Kes import : 7 kes (4 warganegara, 3 bukan warganegara);
24 Jun – Kes baharu : 5,841 kes (716,847 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,833 kes [4,683 warganegara (80.3%); 1,150 bukan warganegara (19.7%)]; Kes import : 8 kes (1 warganegara, 7 bukan warganegara);
25 Jun – Kes baharu : 5,812 kes (722,659 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,780 kes [4,214 warganegara (72.9%); 1,566 bukan warganegara (27.1%)]; Kes import : 32 kes (17 warganegara, 15 bukan warganegara).
Rekod kes kematian:-
19 Jun – 72 kes (64WN, 8 BWN), BID 11; 20 Jun – 60 kes (56 WN, 4 BWN), BID 7; 21 Jun – 69 kes (66 WN, 3 BWN), BID 5; 22 Jun – 77 kes (70 WN, 7 BWN), BID 11; 23 Jun – 83 kes (77 WN, 6 BWN), BID 7; 24 Jun – 84 kes (73WN, 11BWN), BID 11 dan 25 Jun – 82 kes (71WN, 11 BWN), BID 17.
*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara
*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif COVID-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.
Untuk rekod kes kematian semalam (24 Jun), Dr Noor Hisham melaporkan pesakit paling muda yang menjadi korban COVID-19 ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, dengan latar belakang penyakit asma dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-
19 Jun – 24 kluster baharu (12 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 4 kluster pusat tahanan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);
20 Jun – 19 kluster baharu ( 11 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 2 kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster pusat tahanan);
21 Jun – 22 kluster baharu (14 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);
22 Jun – 21 kluster baharu (13 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan, 1 kluster pusat tahanan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);
23 Jun – 24 kluster baharu (15 kluster tempat kerja , 7 kluster komuniti, 1 kumpulan berisiko tinggi, 1 kluster pusat tahanan);
24 Jun – 30 kluster baharu (20 kluster tempat kerja, 9 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi).
25 Jun – 21 kluster baharu (18 kluster tempat kerja, 2 kluster komuniti dan 1 kluster pusat tahanan).
Statistik global Covid-19
Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 180,847,411 kes (rangkuman minggu lalu 178,276,440 kes) dengan 3,917,924 kematian (minggu lalu 3,859,589 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 165,486,420 orang (minggu lalu 162,779,900 orang).
Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Argentina, Itali dan Colombia.
Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-
Amerika Syarikat 34,464,956 kes (618,685 kematian);
India 30,134,445 kes (393,338 kematian);
Brazil 18,243,483 kes (509,282 kematian);
Perancis 5,764,329 kes (110,906 kematian);
Rusia 5,409,088 kes (132,064 kematian);
Turki 5,393,248 kes (49,417 kematian)
United Kingdom 4,684,572 kes (128,048 kematian);
Argentina 4,350,564 kes (91,438 kematian);
Itali 4,255,700 kes (127,362 kematian);
Colombia 4,060,013 kes (102,636 kematian).
Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 100 dengan 91,693 kes. Angka kematian kekal 4,636.
Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 97 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.
Indonesia di tangga 17 – 2,072,867 kes (56,371 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,385,053 kes (24,152 kematian);
Thailand di tangga 76 – 236,291 kes (1,819 kematian);
Myanmar di tangga 86 – 150,714 kes (3,275 kematian);
Singapura di tangga 110 – 62,513 kes (35 kematian);
Kampuchea di tangga 113 – 46,065 kes (509 kematian);
Vietnam di tangga 143 – 14,435 kes (74 kes kematian);
Laos di tangga 190 – 2,080 kes (3 kes kematian);
Brunei di tangga 204 – 256 kes (3 kes kematian).
Ruangan sisi
Latar belakang Covid-19
- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
- WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.
- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).
- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.
- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020.
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom (B.117), Afrika Selatan (B.1.351), Brazil (P.1) dan India (B.1.617).
WHO berikutnya mengumumkan varian COVID-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik itu.
Variant of Concern (VOC) seperti berikut:- *varian Beta (B.1.351); *varian Alpha (B.1.1.7); dan *varian Delta (B.1.617.2).
Variant of Interest (VOI) seperti berikut:- *varian Theta (P.3); *varian Eta (B.1.525); dan *varian Kappa (B.1.617.1) – BERNAMA











