PAS terus berjuang di sebalik serangan juak PH

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Serangan bertalu-talu juak Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS sesekali tidak akan melemahkan parti itu untuk meneruskan agenda perjuangannya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, ada sahaja perkara yang tidak kena di mata mereka lebih-lebih parti itu sebahagian Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Saban hari PAS difitnah dan diserang dari pelbagai sudut oleh juak Pakatan Harapan.

“Sungguhpun begitu, PAS tetap teguh melayari bahtera menuju ke destinasi,” demikian ujar beliau dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Hal itu katanya berikutan kecemerlangan serta prestasi baik ditunjukkan oleh para menteri serta timbalan daripada PAS selain negeri-negeri di bawah pentadbiran parti itu.

“Itulah kerja pembangkang. Semua perkara kerajaan buat serba tak kena. Tidak ada satupun yang baik pada pandangan mereka,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, gangguan seumpama itu sedikit pun tidak berbekas kepada pemimpin dan ahli parti sebaliknya menjadi semangat untuk terus mara.

“Walaupun pelbagai serangan datang sama ada dari susuk kanan, kiri, depan dan belakang, PAS tetap teguh,” tambah beliau.

Kata Dr Ahmad lagi, kekuatan yang ada pada parti itu kerana kompas perjalanannya bertonggakkan aqidah dan syariat.

“Jadi tidak hairanlah bilangan keahlian baru semakin menggunung sementara pengukuhan dalaman PAS pula sentiasa meriah dalam bentuk norma baru.

“Dari segi ‘political engagement’ pula, PAS mengambil pendirian mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) seterusnya mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Inilah tagline PAS. Ia merupakan pati ramuan  memperkasa kerjasama rakan-rakan muafakat politik serta menokok kekuatan kerajaan sedia ada,” tegas beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Justeru itu tambahnya lagi, sebagai parti yang mendukung konsep penyatuan ummah serta memimpin perpaduan, PAS istiqamah berpegang kepada ayat wa’tasimu iaitu menyatukan umat Islam tanpa mengenepikan kedudukan masyarakat majmuk dalam negara.

Katanya, perkara itu sejajar dengan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran selain panduan mendirikan negara Islam Madinah oleh Rasulullah SAW.

“Siapa nak kata apapun mengenai pendirian PAS itu, orang Kedah kata ‘biaq pi kat depa’. PAS pula, ‘teruih ŕeja”. Yang paling mustahak sekarang adalah menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Katanya lagi, PH memang cemburu apabila parti-parti Melayu bersatu kerana mereka tahu kekuatan itu akan membuatkan agenda perjuangan mereka terbantut.

“Lebih-lebih lagi sekiranya orang-orang Melayu dapat mengenepikan perbezaan pendapat dan berjaya mencari titik persamaan fikrah.

“Harapan mereka satu saja iaitu MN terburai dan PN kian melemah,” ujar YDP Kawasan Kuala Kedah itu lagi.

Katanya, PAS tetap istiqamah merealisasikan  bentuk politik yang mengandungi prinsip Islam dan terus mendepani cabaran politik  semasa.

Hal itu juga, ujarnya merupakan lumrah perjuangan dan menyelesaikannya adalah satu pengalaman yang amat berharga. – HARAKAHDAILY 26/6/2021

- Advertisement -