
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang bebas melakukan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sehingga mencemar norma kehidupan dan agama Islam.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, ketegasan itu bukan hanya sekadar pelan tindakan sebaliknya bertindak agar ia lebih berkesan.
“LGBT bukan isu baharu, sudah banyak masa dihabiskan untuk menangani masalah ini.
Sehubungan itu PAS Kedah turut menyokong kenyataan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad di yang mahukan tindakan tegas diambil untuk menyekat pengaruh songsang itu daripada terus merebak.
Idris berkata, selain cadangan pelan tindakan daripada Task Force Menangani Isu LGBT, pihak berwajib juga wajar melakukan pemantauan yang rapi terhadap proses perlaksanaannya bagi memastikan setiap cadangan pelan tindakan dibumikan dengan agenda bertindak yang efektif.
“Kita mengharapkan agar aktiviti songsang di negara ini dapat dikekang dengan lebih efektif dan Malaysia kekal negara yang bebas fahaman songsang LGBT, insya-Allah,” ujarnya
Ahmad berkata, golongan LGBT akan mengambil peluang memanfaatkan apa sahaja peluang ruang untuk membolehkan mereka diiktiraf.
Dengan itu, katanya membolehkan mereka bebas, dilayan dan ditunaikan hak-hak yang terang-terangan berasas kepada nafsu songsang serta berlawanan dengan fitrah kejadian manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT.
“Tidak boleh biarkan lagi. Sekiranya tiada tindakan berkesan untuk mengekang pengaruh mereka, golongan ini akan terus bebas memanipulasi segala ruang yang ada seperti media sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suhakam dan lain-lain.
“Sekiranya perkara ini berterusan ini bererti kita belum berjaya,” tambahnya.
Oleh itu ujar Ahmad, dalam suasana pandemik Covid-19 ini sepatutnya setiap antara kita tidak disibukkan dengan masalah pihak terbabit.
“Tetapi oleh kerana aktiviti LGBT ini sebelum ini mendapat sokongan dari kerajaan lalu maka natijahnya terpaksa dipikul oleh pemerintah kini.
“Yang hairannya ada pihak yang mengambil kesempatan mendakwa hal ini sebagai kegagalan kerajaan hari ini.
“Walhalnya LGBT ini sudah berkembang biak ini lama dah, bukan baharu lahir tahun ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 26/6/2021











