
APA sebenar yang kita mahu? Kita mahu hidup seperti dulu. Bebas ke sana ke mari. Tiada sekatan untuk berhimpun. Boleh lepak kedai kopi hingga larut malam. Bersorak di stadium. Benar. Kita rindui kehidupan itu. Kita dambakan detik begitu. Soalnya apakah punca keadaan ini? Apakah ia kerana Kerajaan Perikatan Nasional lemah? Apakah jika bertukar kerajaan keadaan akan pulih seperti sedia kala? Inilah yang sedang bermain dalam fikiran kita.
Kita semua tahu bahawa kerajaan ini ditubuhkan angkara kerakusan PH berkuasa. Belum berlaku dalam sejarah Malaysia Kerajaan Pusat bertukar selepas hanya 22 bulan. Pertukaran ini disambut penuh kegembiraan oleh rakyat Malaysia. Mereka yang dulunya menyesal kerana mengundi PH terasa seperti bebanan kesilapan mereka telah bebas.
Apakah untuk keluar dari kemelut ini dan hidup seperti dulu maka Kerajaan PH yang didominasi DAP dan Anwar perlu dikembalikan. Saya yakin orang waras akan menggeleng kepala beratus kali. Ringkasnya, rakyat memilih Kerajaan PH dulu bukan kerana berharap kerajaan lebih baik namun sekadar untuk keluar dari kebejatan dan keangkuhan kuasa kerana terlalu lama berkuasa.
Ternyata… Isu kita hari ini bukan hanya kerana kerajaan. Ia adalah pandemik baru yang dihadapi oleh seluruh dunia. Kita akui banyak kelemahan yang ada kerana kita sedang melalui jalan sukar. Siapa pun pemandu kenderaan ini tidak mungkin memandu laju tanpa gegaran kerana kita sedang lalui jalan yang rosak. Bukan kenderaan.
Kita dapat rasai bagaimana kerajaan telah menyusun dengan baik di awal pandemik melanda. Kebimbangan kita tiada bantuan kerana didakwa kerajaan hampir muflis hilang apabila berbagai bentuk bantuan turun mencurah hingga kita jauh mendahului negara lain. Ertinya kerajaan telah lakukan yang terbaik.
Mengapa keadaan sukar ini kembali? Cuba kita lihat, sepanjang kerajaan berjaya mengurus pandemik di awal dulu apakah pembangkang menyokong atau terus menekan kerajaan? Sepanjang masa mereka menggugat hingga kerajaan sering diganggu dengan cubaan peralihan kuasa. Ulangan pandemik gelombang besar ini seakan satu peluang terbaik pembangkang memainkan sentimen rakyat.
Perasaan rakyat diolah seakan-akan kerajaan langsung tidak membantu rakyat sedangkan pakej demi pakej bantuan diberikan. Cerita-cerita ‘drama bersiri bawang putih bawang merah’ dimainkan. Rakyat dalam tekanan tentunya mudah dimainkan perasaan. Segala isu hingga ejaan nama Perdana Menteri turut dipertikai. Tidakkah itu tanda terdesak dan dangkalnya emosi rakyat dipermainkan?
Kita hanya boleh membuat penilaian gagal atau berjayanya kerajaan hari ini jika diberi kesempatan memimpin dalam keadaan stabil seperti dua kerajaan yang lalu. Apapun, kerajaan telah menunjukkan prestasi awal yang sangat memberangsangkan.
Kini kita dalam saat sukar. Kesukaran yang disebabkan faktor luar. Masanya untuk kita bersatu membantu hadapi ujian yang menimpa. Setidaknya mengawal diri kita. Kerajaan sedang mengatur langkah agar sebahagian besar rakyat divaksin untuk miliki kekuatan hidup seperti biasa.
Ia lambat. Namun ia lebih baik dari mempercayai janji palsu dan mengulangi kegagalan lalu. Kini kita sudah melangkah ke hadapan. Jangan lagi menoleh untuk menyerahkan kerajaan kepada kumpulan yang DAP dan Anwar mendominasinya. Selagi Anwar dan DAP ada di dalam kerajaan yang dicadang, ia sebenarnya mengundang mengulang musibah besar kepada agama, bangsa dan negara. Kita sedang melangkah, jangan berhenti dan mengalah.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 25/6/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/6424744154206255/











